RANCANGAN sepasang warga emas Amerika tidak kesampaian apabila mereka ditangkap polis bersama-sama jumlah ganja yang banyak- yang didakwa mereka adalah hadiah sempena Krismas.
Patrick Jiron, 80, dan isterinya Barbara, 70, melakukan perjalanan lintas sempadan dari California ke Vermont untuk melawat rakan-rakan dan keluarga- membawa bersama mereka 27kg ganja, menurut York News-Times.
Mereka memberitahu polis di Nebraska- tempat mereka ditahan- yang ganja bernilai hampir AS$336,000 itu adalah hadiah Krismas, kata akhbar itu.
Polis menahan pasangan itu kerana melanggar undang-undang jalan raya dan terhidu bau tengik daripada trak mereka.
Patrick Jiron ditahan dan didakwa kerana memiliki ganja dengan niat mengedar dan tidak mempunyai setem duti cukai, menurut akhbar itu, tetapi dibebaskan selepas membayar 10% daripada jumlah ikat jamin berjumlah AS$100,000.
Barbara Jiron pula tidak dipenjarakan kerana masalah kesihatan, kata akhbar itu lagi.
Ganja diharamkan di Nebraska walaupun beberapa negeri termasuk California dan Colorado sudah membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi.
Vermont adalah salah sebuah daripada 29 negeri yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan. – AFP, 23 Disember, 2017.
Komen