FBI tangkap bekas tentera laut AS rancang serangan Krismas


Everitt Aaron Jameson, 26, merancang melakukan serangan di kawasan tumpuan pelancong, Pier 39, menurut afidavit yang dihantar oleh Ejen Khas FBI Christopher McKinney. Dia merancang melakukan serangan itu di Pier 39, kawasan tumpuan pelancong. – Gambar AFP, 23 Disember, 2017.

EJEN persekutuan menahan seorang bekas tentera laut Amerika Syarikat pada Jumaat atas dakwaan merancang satu serangan insipirasi Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) sempena Krismas di San Francisco, menurut dokumen mahkamah.

Pemandu lori tunda, Everitt Aaron Jameson, 26, merancang melakukan serangan di kawasan tumpuan pelancong, Pier 39, menurut afidavit yang dihantar oleh Ejen Khas FBI Christopher McKinney.

Suspek memberi maklumat kepada mata-mata agensi penyiasat bagaimana dia mahu meletupkan kawasan yang sesak dengan orang ramai itu antara 18 hingga 25 Disember kerana “Krismas adalah hari terbaik untuk melancarkan serangan.”

Jameson mengakui tidak wujud pelan melarikan diri kerana dia “bersedia untuk mati”, menurut dokumen itu lagi.

Rumah suspek di Modesto, California diserbu ejen FBI pada Rabu dan mereka menjumpai wasiat terakhir, keterangan serta beberapa senjata api dan bahan letupan.

Jameson menghadiri latihan asas tentera laut pada 2009 dan mempunyai kelayakan penembak tepat, menurut FBI tetapi digugurkan daripada tentera kerana gagal mendedahkan sejarah penyakit asmanya.

Menurut McKinney, Jameson memilih Pier 39 kerana “dia pernah pergi ke situ dan tahu kawasan itu sesak.”

Suspek mendedahkan butiran rancangan itu kepada seorang mata-mata FBI yang dia percaya adalah pemimpin kanan IS, kata dokumen mahkamah itu.

Jameson berkata AS perlukan “satu lagi serangan seperti di New York atau San Bernardino,”  dan menambah yang dia mahu menggunakan kenderaan dan senjata api untuk melakukan serangan itu.

“Hari ini, pegawai penguatkuasa kita yang berwibawa sekali lagi membantu menumpaskan rancangan untuk membunuh rakyat Amerika,” kata Peguam Negara Jeff Sessions dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan kes, Jameson “terdedah kepada kepercayaan radikal pengganas termasuklah mengikuti akaun media sosial yang menyokong keganasan.”

Dia menyuarakan sokongan kepada serangan di New York pada 31 Oktober lalu apabila seorang pengganas memandu trak dan merempuh sekumpulan penunggang basikal, membunuh lapan orang, kata FBI dan aktif di akaun pro-IS di Facebook.

Dia didakwa di Mahkamah Daerah Timur California atas dakwaan cuba menyediakan bahan menyokong organisasi pengganas asing dan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.

“Dia sentiasa dipantau agensi penguatkuasa, dan orang awam tidak berdepan bahaya,” kata FBI dalam kenyataan itu. – AFP, 23 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen