Ahli Parlimen persoal kerajaan jual tanah 50% bawah harga pasaran


Chan Kok Leong Hailey Chung Wee Kye

Beliau bertanya bagaimana transaksi itu diuruskan dalam tempoh tiga bulan sedangkan kebiasaannya ianya memakan masa lebih lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

DEWAN Rakyat telah meluluskan Belanjawan 2021 Kementerian Wilayah Persekutuan walaupun soalan tentang penjualan tanah kerajaan sebanyak 50% di bawah harga pasaran tidak dijawab.

“Bagaimana kabinet setuju dengan penjualan Lot PT15358? Penjualan lot ini telah dibuat dan didaftarkan pada 23 Jun selepas Pakatan Harapan (kerajaan) dijatuhkan oleh Perikatan Nasional,” kata Teresa Kok (Seputeh-PH) semasa perbahasan belanjawan kementerian hari ini.

Beliau bertanya bagaimana transaksi itu diuruskan dalam tempoh tiga bulan sedangkan kebiasaannya ianya memakan masa lebih lama.

“Transaksi itu berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan dilakukan dengan begitu cepat,” kata Kok.

Beliau juga mempersoalkan harga penjualan.

“Pada 2002, tanah seluas 42 ekar itu dibeli oleh kerajaan dengan harga RM14 juta, iaitu RM161 kaki persegi, jadi peliklah bila 18 tahun kemudian, tanah ini dijual dengan harga RM80 per kaki persegi.”

Kok meminta penjelasan mengenai diskaun khas yang diberikan kepada syarikat swasta.

Syarikat Kunci Muhibah

“Dan saya tahu tanah sekarang adalah RM600 kaki persegi, jadi mengapa DBKL menjual tanah komersial ini di bawah harga pasaran, sampai menyebabkan kerajaan kehilangan RM95.8 juta?”

Beliau berkata tanah itu dilesenkan di persimpangan Jalan Klang Lama dan Jalan Kuchai Lama.

“Pada 2002, tanah itu diambil alih oleh jabatan kerja awam dengan tujuan memperluas Jalan Klang Lama dan membina jambatan di situ. Tetapi projek ini tidak dilaksanakan dan  malah kerajaan menyewakan tapak ini kepada syarikat yang menjalankan pusat penjaja.

“Pada bulan Mac 2017, JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan) menyewakan tanah itu selama tiga tahun kepada bekas pemilik tanah tersebut tetapi pajakan itu dibatalkan pada bulan November tahun yang sama dan hak milik tanah tersebut dipindahkan dari JKPTG ke DBKL.”

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan berurusan dengan syarikat kontroversial dan tidak mempedulikan protes oleh penjaja. – 14 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen