Polemik calon PM Pakatan adalah sihat dan subur demokrasi!


SIAPAKAH yang layak ditabalkan sebagai perdana menteri ( PM ) sekiranya Pakatan Harapan ( PH ) mengambil alih kerajaan yang baru menggantikan Barisan Nasional (BN) kini menjadi polemik yang menarik di alam maya dan di laman-laman sosial.

Saya mengikuti perbincangannya dengan penuh minat sekali. Bagi saya, siapa pun yang menjadi pilihan para pemimpin, penyokong dan pendokong PH, calon- calon itu, seperti biasa, ada merit dan demeritnya. Ada kekuatan, mungkin dari satu sisi dan ada juga kelemahan , dari sisi yang lain pula.

Sudah tentu calon yang  menjadi pilihan paling popular adalah  Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim . Kedua-dua calon ini, bagi saya, tidak syak lagi, diliihat memiliki material PM yang jelas dan jauh mengatasi calon-calon lain dalam kepimpinan PH itu sendiri.

Sudah tentu saya ada pilihan saya sendiri, namun saya tidak bercadang untuk berkongsinya sekarang. Saya ingin tegaskan tulisan ini pun tidak harus dilihat pengendorsan  kepada mana- mana calon. Ia sekadar memeriahkan lagi polemik dan menghidupkan demokrasi. Nak tumpang sekaki je.

Saya juga rasa calon-calon lain dalam PH selain Dr Mahathir dan Anwar seperti ahli Parlimen Permatang Pauh, ahli Parlimen Pagoh, presiden Amanah, menteri besar Selangor, ahli Parlimen Pandan dan ramai lagi mungkin juga layak dicalonkan, tetapi seperti mana yang saya katakan, sama ada kita suka atau tidak, mereka mungkin masih belum dapat mengatasi kehebatan Dr Mahatir dan Anwar. Bagi saya, pada masa ini, peranan mereka adalah pelengkap kepada kepimpinan Dr Mahathir atau Anwar.

Amat malang sekali, kerana politik perkauman yang amat tebal yang dimainkan oleh rejim pemerintah dan kini ditambah pula dengan politik neo-asabiyyah Melayu/Islam yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu, nampaknya meskipun wujud calon-calon yang sesuai dan layak daripada DAP seperti ahli Parlimen Gelang Patah dan anaknya ketua menteri Pulau Pinang, namun nama mereka nampaknya terasing begitu sahaja. 

I have a dream, insyaAllah, satu hari nanti negara ini bebas dari diskriminasi yang jijik ini.

Secara jujur, Dr Mahathir dan Anwar juga ada demerit masing-masing. Namun nampaknya merit mereka berdua mengatasi demerit mereka.

Masalah paling besar yang menghambat Anwar mungkin lebih kepada isu perundangan. Jangan salah anggap. Saya tak pernah rasa hukuman yang dikenakan ke atas Anwar adalah adil dan mengikut norma, piawaian dan standard keadilan yang sebenarnya.

Dan saya insya Allah tak pernah jemu membela beliau di dalam dan di luar Parlimen. Begitu juuga kawan-kawan saya dalam Amanah di mana ,semua tahu, masa kami di dalam parti suci dulu, kami sering dituduh dan digelar Anwarinas kerana tak jemu-jemu mempertahankan Anwar.

Namun, realitinya, mencalonkan Anwar sebagai calon PM dalam keadaan beliau mungkin berhalangan untuk dicalonkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mungkin akan mengakibatkan PH dilihat seolah-olah meremehkan Perlembagaan dan ” insult people’s intelligence.”

Mungkin sahaja jika PH berkuasa, sesuatu boleh dilakukan dari segi perundangan untuk membuka ruang dan saluran bagi Anwar masuk semula ke Parlimen sekaligus ditabalkan sebagai PM namun, secara realistik, untutk PRU14 , masa, malangnya, tidak memihak kepada Anwar.

Ini pandangan peribadi  sayalah dan saya harap saya silap.

Dr Mahathir mungkin tidak menghadapi masalah hambatan perundangan seperti Anwar. Namun, beliau nampaknya juga tidak disenangi oleh setengah pihak khususnya mereka yang sukar nak lupakan apa yang beliau lakukan sebelum ini- ketika beliau berkuasa dan menerajui negara ini.

Saya biasa dengar rungutan daripada mereka yang tidak senang dengan Dr Mahathir bahawa mereka melahirkan kebimbangan mereka jika Dr Mahathir menjadi PM, beliau mungkin akan kembali kepada tabiat lama beliau yang sering disinonimkan dengan kediktatoran dan kezaliman.

Saya tak kata kebimbangan mereka kepada Dr Mahathir itu langsung tidak berasas. Mungkin ada asasnya. Namun, bagi saya, ia masih tetap berstatus spekulasi.

Logiknya, insan seperti presiden Amanah, ahli Parlimen Gelang Patah , ahli Parlimen Bagan, ahli Parlimen Shah Alam hatta Anwar sendiri yang pernah menjadi mangsa kezaliman undang-undang drakonian di zaman Dr Mahathir, sepatutnya tidak boleh bersama dengannya.

Tapi lihatlah sifat gentleman mereka. Begitu juga ahli Parlimen Permatang Pauh dan ahli Parlimen Lembah Pantai atau ahli Parlimen Puchong- mustahil mereka lupa apa yang berlaku pada suami atau bapa mereka di zaman Dr Mahathir.

Bagi saya, mereka semua mungkin sanggup lupakan sejarah pahit mereka dengan Dr Mahathir kerana mengutamakan agenda yang lebih penting lagi-ingin selamatkan negara tercinta ini dari terus  dirosakkan oleh si kleptokrat yang berselirat dengan skandal dan bebankan rakyat.

Bagi Amanah, sudah tentu qudwah (model) yang dipamerkan oleh Rasulullah ke atas musuhnya semasa fathu Makkah (pembukaan Kota Mekah) pada tahun 8 hijrah adalah “precedent” kami.

Saya juga rasa, adalah tidak adil untuk terus menerus “bersangka buruk” dengan Dr Mahathir dan semacam tidak bersedia memberi beliau any benefit of doubt untuk bersama-sama PH menyelamatkan negara yang nak karam.

Ya, Dr Mahathir ada sejarah yang tidak menggembirakan dahulu tetapi siapa yang tiada? Apatah lagi, Dr Mahathir pun kini menjadi mangsa kezaliman BN/Umno.

Bagi saya, untuk berlaku adil kepada Dr Mahathir, dahulu beliau boleh dikatakan dikelilingi oleh ramai yes men atau pak angguk yang tidak berani mungkin menegur beliau hatta jika dia melakukan kesilapan.

Namun, keadaan sekarang jauh berbeza. Dengan wujudnya pemimpin seperti ahli Parlimen Shah Alam dan ahli Parlimen Puchong, saya tak rasa Dr Mahathir bebas seperti dalam BN dulu.

Bagi saya, yang jelas Dr Mahathir ada x factor yang mungkin tidak ada pada pemimpin lain dalam PH. Saya nampak Dr Mahathir mampu menarik undi orang melayu yang selama ini amat sukar ditembusi oleh pemimpin PH yang lain seperti pengundi Felda.

Lihatlah betapa hebatnya Dr Mahathir boleh relate dengan golongan artis yang digilai oleh pengundi muda.

Bagaimanapun, sekiranya diandaikan Dr Mahathir yang menjadi pilihan PH sebagai calon PM, saya rasa PH wajib mengambil saranan dari mereka yang mungkin bimbang Dr Mahathir mungkin kembali ke zaman lamanya agar kebimbangan itu dapat dihapuskan sama sekali.

Mekanismenya, bagi saya boleh dibincangkan secara baik dan jujur.

Apa pun saya amat senang sekali rakyat sudah makin tidak bincang MO1 jadi PM. Ahli Parlimen Marang lagi tak masuk senarai daripada awal. – 23 Disember, 2017.

* Mohamed Hanipa Maidin adalah ahli Parlimen Sepang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Pakatan Harapan kelihatan seakan tiada kesepakatan apabila setiap parti di dalam PH mempunyai calon mereka masing-masing. Jika dilihat seperti BN, mereka sudah pun menetapkan siapa yang akan menjadi PM jika mereka memenangi pilihanraya iaitu Presiden UMNO. PH sepatutnya melakukannya seperti BN iaitu menetapkan terus siapa bukannya bermain teka-teki dengan rakyat dan penyokong mereka.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan