.jpg)
PENGALAMAN politik di Perak begitu unik kerana merupakan satu-satunya negeri yang mengalami tiga penjajaran kuasa berbeza.
Pertamanya, Perak pernah mengalami pertukaran menteri besar dan parti pemerintah negeri pada 2009.
Keduanya, pertukaran parti pemerintah tetapi menteri besar dikekalkan pada Mac 2020 dan terkini pula, MB ditukar daripada Bersatu kepada Umno dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikekalkan.
Krisis mutakhir ini memberi indikator kestabilan kepimpinan kerajaan yang diterajui oleh parti komponen terkecil dalam sebuah gabungan politik adalah sangat rapuh.
Kerapuhan disebabkan sukarnya untuk mencapai keseimbangan kuasa antara parti komponen dalam keadaan kuasa rundingan dan tawar-menawar antara parti komponen tidak setara kekuatannya.
Selain Perak, kerajaan Persekutuan juga turut berdepan dengan tekanan ini hinggakan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin-Bersatu terpaksa akur dengan tuntutan pindaan Belanjawan 2021 oleh Umno demi memastikan RUU Perbekalan tersebut diluluskan dan mengelakkan risiko perdana menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Parlimen.
Persaingan kuasa ini memperlihatkan cubaan Umno untuk menjadi parti dominan dalam PN sebagaimana mereka menjadi dominan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, memandangkan Umno memiliki kerusi parlimen dan DUN terbanyak gabungan ini.
Kerajaan yang terbentuk daripada amalan ini mungkin akan memiliki sebuah kestabilan dalam menentukan hala tuju dan menggubal dasar kerajaan. Risikonya, mereka berdepan dengan hakisan sokongan daripada penyokong parti komponen lain.
Sebelum ini, kerajaan BN memperlihatkan dominasi Umno berlebihan menyebabkan MCA dan MIC semakin hilang pengaruh kerana masyarakat bukan Melayu tidak lagi yakin MCA dan MIC mampu membawa suara mereka untuk berunding dalam BN.
Natijahnya, sokongan Cina dan India beralih kepada Pakatan Harapan (PH) hingga mencecah 90% dan 75% sokongan semasa PRU14.
Pasca PRU14 pula, kewujudan Muafakat Nasional membantu Umno meningkatkan undi majoritinya di atas sokongan PAS dan Umno juga dilihat memiliki kuasa yang lebih kerana Umno diberikan banyak ruang dan peluang untuk bertanding. PAS hanya bertanding di Seri Setia dan Port Dickson saja.
Pengaruh Umno dilihat diseimbangi semula oleh Bersatu dan PAS apabila tertubuhnya kerajaan PN. Sewajarnya kedinamikan ini berterusan di samping memperkasakan peranan MCA, MIC dan parti komponen lain juga untuk mempamerkan BN-PN sebagai parti yang terbuka, demokratik dan progresif demi meraih semula sokongan pelbagai kaum.
Sekiranya Umno meneruskan langkahnya untuk mendominasi kerjasama dalam PN, mungkin hanya tiga juta ahli Umno saja yang bergembira.
Manakala parti komponen PN bakal mengalami kesukaran untuk meyakinkan sokongan akar umbi mereka pada PRU seterusnya jika PN berubah kepada BN 2.0 yang pernah ditolak rakyat sebelum ini. – 14 Disember, 2020.
* Anis Sina ialah ketua penyelidik O2 Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen