Pemain industri vape gesa cukai dipertimbangkan semula


Kamles Kumar

Pemain industri vape berkata cukai dikenakan terhadap peralatan dan cecair e-rokok itu perlu lebih munasabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2020.

PUTRAJAYA perlu mempertimbangkan semula untuk mengenakan cukai terhadap vape termasuk peralatan dan cecairnya, ketika ekonomi teruk akibat pandemik Covid-19 selain masalah kesihatan lain, kata pemain industri.

Menurut mereka, cukai yang dikuatkuasakan pada 1 Januari akan membuka laluan kepada pasaran seludup di tengah-tengah pandemik yang sedang berlaku ketika ekonomi sudah sedia merosot.

Kerajaan akan menguatkuasakan duit eksais 10% terhadap peralatan untuk semua produk e-rokok dan bukan e-rokok, termasuk cecair vape, yang akan dikenakan caj 40 sen per ml. Ini juga termasuk cecair vape yang tidak ada tambahan nikotin.

Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move) Samsul Kamal Ariffin berkata cukai itu merugikan kepada rakyat Malaysia ketika pandemik.

“Ini langkah drastik yang akan melumpuhkan industri vape selain menjejaskan banyak pemain indudstri tempatan pada 2021 ketika ekonomi buruk,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Samsul bersetuju yang peraturan amat perlu untuk industri vape kerana ia akan mengesahkan lapangan itu tetapi cukai pengenalan yang besar akan menjejaskan ramai pengguna dan usahawan vape.

“Kami mahu dikawal selia. Kami tidak membantahnya. Kami tahu bila ada kawal selia, langkah seterusnya ialah cukai, tetapi soalannya ialah kenapa cepat sangat?

“Kerana mahu dikenakan cukai tanpa bincang dengan pihak berkepentingan terlebih dulu?”

Samsul berkata tempoh pendaftaran entiti vape pada 15 Disember manakala pelaksanaan cukai 1 Januari, tidak sampai 15 hari selepas tempoh itu tamat.

Katanya, pengeluar vape juga merasakan tidak patut cukai dikenakan terhadap cecair bukan tembakau di mana bahannya sama seperti dalam pastri.

“Cukai juga dikenakan kepada cecair tanpa nikotin, di mana secara asasnya, bahan yang sama boleh ditemui dalam kek atau aiskrim.

“Kami tidak faham kenapa cukai dikenakan terhadap bahan bukan kawalan dan cukai pada jumlah sama dikenakan pada rokok. Ini mengelirukan.”

MOVE melancarkan kempen atas talian menggesa kerajaan memansuhkan cukai vape. Lebih 10,000 individu mendatanganinya sejak dimulakan tiga minggu lalu.

Presiden Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) Adzwan Ab Manas meramalkan kerajaan akan menjana RM300 juta tahun depan daripada cukai industri vape.

Kebanyakan peruncit bersetuju cukai itu akan mengesahkan dan menaikkan taraf industri itu tetapi mahu lebih banyak peraturan dan kajian dilakukan sebelum cukai dikuatkuasakan, kata Adzwan.

“Pemain industri bersetuju dengan cukai itu tetapi jumlahnya patut lebih munasabah. 40 sen per ml sangat tinggi, kami cadangkan 10 sen per ml dulu, kemudian naik secara berperingkat.

“Mereka sepatutnya faham keadaan dalam negara sekarang, nampak seperti mereka mahu bunuh industri vape,” kata Adzwan kepada The Malaysian Insight. – 16 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen