Sukar penuhi syarat tempat tinggal pekerja asing, kata kumpulan perdagangan


Bernard Saw

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata, lebih daripada 90% penginapan pekerja masih tidak memenuhi syarat yang diperlukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

ADALAH sukar untuk mendapatkan wang bagi memperbaiki tempat tinggal pekerja asing seperti yang disyaratkan di bawah undang-undang baharu, kata kumpulan perdagangan.

Mereka berkata, keadaan sudah teruk sebelum wabak Covid-19, malah lebih teruk sekarang ini dek penyebaran virus yang berlanjutan.

Melihatkan keadaan pasaran dan ekonomi semasa, mereka berkata sangat sukar bagi mereka untuk mematuhi syarat tersebut.

Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) mula dikuatkuasakan pada 1 September dan proses pengesahan penginapan sepatutnya selesai menjelang November tahun ini.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata, lebih daripada 90% penginapan pekerja masih tidak memenuhi syarat yang diperlukan.

Ketika ditemubual, kumpulan perdagangan dan syarikat tempatan berkata mereka hanya dapat mematuhi piawaian baharu hanya jika mereka mempunyai kemampuan kewangan dan kestabilan ekonomi untuk mengikuti syarat itu.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan memberitahu The Malaysian Insight, syarat itu bermaksud syarikat perlu mempunyai kos tambahan.

“Susah bagi majikan untuk mematuhi sekarang ini kerana pandemik Covid-19 yang menggugat kewangan syarikat.

“Lebih baik kerajaan mengkaji semula syarat dan lihat jalan penyelesaian yang lebih baik,” kata Shamsuddin.

Beliau juga tidak dapat menjamin syarikat-syarikat dapat mematuhi peraturan baharu pada 2021 seperti yang disasarkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Sama ada syarikat dapat mematuhi peraturan itu bergantung pada keadaan ekonomi dan pandemik. Sekiranya semua berada di landasan yang betul maka kita dapat mematuhinya,” katanya.

Mengenai syarikat yang gagal memenuhi kriteria baharu yang melarang untuk menggaji pekerja asing, Shamsuddin berkata, ia bergantung pada keadaan ekonomi dan keperluan tenaga kerja asing di pasaran.

“Undang-undang tetap undang-undang. Kami akan buat yang terbaik untuk ikut. Tapi ini adalah cabaran yang perlu diteliti,” katanya.

Mengenai kenyataan Saravanan bahawa 91% tempat tinggal pekerja asing belum diperakui, Shamsuddin berkata, tidak diperakui dan tidak mematuhi peraturan adalah dua perkara yang berbeza.

“Sudah tentu, kita harus memohon sijil sekarang, ini adalah peraturan baharu. Tetapi sebelum ini tidak ada keperluan.

“Persijilan adalah dasar baharu, tetapi saya rasa lebih banyak masa diperlukan untuk syarikat mematuhi syarat kerana terdapat banyak perkara yang perlu mereka atasi terlebih dahulu sebelum mereka dapat mengikutinya,” katanya.

Shamsuddin berkata, peraturan baharu itu hanya diumumkan pada 30 Ogos dan dikuatkuasakan pada 1 September, yang akhirnya ditangguhkan ke November.

“Tapi, masih banyak masalah rumit yang belum dapat ditangani,” katanya.

Mengenai rancangan Kementerian Sumber Manusia bagi meningkatkan tenaga kerjanya untuk penguatkuasaan yang lebih ketat, Shamsuddin menyarankan agar kerajaan mengizinkan majikan yang mengatur sendiri.

“Tak perlu ada pemeriksaan, kita mampu buat sendiri,” katanya.

Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja mula dikuatkuasakan 1 September dan proses pengesahan penginapan sepatutnya selesai November lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

Terlalu banyak masalah untuk PKS

Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Michael Kang berkata, beliau percaya bahawa 90% perniagaan kecil dan sederhana tidak dapat memenuhi syarat itu.

“Mustahil bagi PKS, terlalu banyak masalah, seperti harus mencari tempat tinggal baru sedangkan tidak cukup pun untuk dipenuhi, ini adalah cabaran besar bagi PKS,” katanya.

Kang menyalahkan Kementerian Sumber Manusia, baik di bawah Pakatan Harapan mahu pun Perikatan Nasional, kerana tidak berunding dengan syarikat-syarikat terlebih dahulu sebelum melaksanakan langkah-langkah itu.

“Kerajaan sebelumnya secara sepihak memutuskan hal ini tanpa berbincang. Saya harap tempoh pematuhan dapat dilanjut atau dikaji semula, atau banyak syarikat akan terpaksa tutup,” katanya.

Kang berkata pematuhan peraturan baharu juga diperlukan untuk memohon pekerja asing mulai tahun depan, yang akan menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam kalangan PKS kecuali mereka yang dapat beroperasi dengan cara tersendiri.

“Sebilangan besar PKS tidak mampu memenuhi syarat. Walaupun jika kamu menetapkan tarikh pematuhan hingga Julai depan, ini tetap sukar kerana ia akan meningkatkan kos, dan sekarang pula, PKS sudah menghadapi masalah aliran tunai,” katanya.

Kang berkata, jika kerajaan berkeras dengan Akta itu, ini akan menyebabkan pemberhentian pekerja dalam kalangan PKS.

“Sekiranya syarikat tidak dapat penuhi syarat, mereka mungkin terpaksa menutup kedai, dan ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Kang juga berkata, pekerja tempatan pun susah mendapatkan kemudahan itu, apatah lagi pekerja asing.

Beliau berharap agar kerajaan dapat mengkaji atau mengubah suai polisi, atau batalkan sepenuhnya dan mula semula dari awal.

“Adakah anda ingin mengembangkan ekonomi atau halau syarikat ke luar negara? Sekiranya majikan tidak dapat mengambil pekerja asing, maka banyak yang terpaksa tutup atau tukar industri,” katanya.

Akta 446 dikuatkuasakan mulai 1 September, dan Saravanan berkata hanya 3,927 permohonan untuk mengesahkan penginapan pekerja asing diterima pada November.

Daripada permohonan itu, hanya 40% yang diluluskan dan selebihnya diproses atau ditolak.

Saravanan sebelum ini berkata, peraturan itu bertujuan untuk mengekang penyebaran Covid-19 dan majikan yang melanggarnya akan dikenakan denda sebanyak RM50,000.

Awal bulan ini, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia juga memberitahu media hanya 30% dari 24,000 asrama pekerja yang diperiksa oleh jabatan itu memenuhi syarat tersebut.

Jabatan itu juga menubuhkan enam jawatankuasa kecil untuk membincangkan masalah tempat tinggal pekerja. – 14 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen