PRESIDEN Rusia Vladimir Putin dan rakan sejawatnya, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini berkata mereka berdua menyokong kewujudan negara Palestin, sehari selepas PBB menolak keputusan Washington untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Kedua-dua pemimpin berbincang mengenai rundingan damai Timur Tengah dalam konteks resolusi yang digunapakai Perhimpunan Agung PBB terhadap status Baitulmaqdis,” Kremlin berkata dalam satu kenyataan.
“Mereka mengesahkan untuk terus membantu menyelesaikan konflik Palestin-Israel berdasarkan terma-terma antarabangsa dan kesedaran terhadap hak rakyat Palestin untuk mewujudkan negara yang merdeka,” kenyataan itu menyebut.
Pada 6 Disember, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Status kota suci itu merupakan yang paling sukar dalam konflik Palestin-Israel, di mana kedua-duanya saling mendakwa ia ibu kota masing-masing.
Semalam, Perhimpunan Agung menolak usul Trump dengan 128menyokong dan sembilan menolak, manakala 35 berkecuali walaupun Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata undi itu tidak akan mengubah pendirian Washington. – AFP, 22 Disember, 2017.
Komen