PANDEMIK Covid-19 tidak menjadi penghalang kepada golongan belia untuk meneruskan kerja sukarelawan untuk alam sekitar walaupun kebanyakan kerja-kerja ini dijalankan secara dalam talian.
Usaha mereka, yang membantu banyak organisasi bukan berasaskan keuntungan yang beroperasi dengan bajet terhad, diiktiraf oleh Roots and Shoots Award Malaysia (Rasma) di bawah program yang diinspirasikan oleh pakar primatologi Dr Jane Goodall.
Kira-kira 53 belia menyelesaikan khidmat sukarela 5,200 jam bermula dari Ogos hingga Oktober sebahagiannya menerusi dalam talian dan lapangan.
“Dalam tempoh pandemik ini, kami merasakan daripada duduk saja menunggu ia berakhir, kita perlu terus lakukan sesuatu yang positif,” kata Presiden Roots and Shoots Malaysia Lim Tiong Piow.
“Banyak (NGO) yang terkesan dari segi kewangan kerana sumber pendapatan mereka sudah habis kerana kawalan pergerakan dan ketidaktentuan ekonomi.
“Banyak yang mengurangkan tenaga kerja mereka berikutan perintah kawalan pergerakan. Ia merupakan tempoh yang mencabar kepada semua.”
Tahun ini, Rasma menjalinkan usahasama dengan Yayasan Hasanah untuk menggalakkan belia Malaysia berumur antara 16 dan 25 tahun untuk memberikan khidmat mereka kepada masyarakat.
“Kami menerima kira-kira 170 pemohonan (dua kali ganda tahun lepas) untuk menyertai program, walaupun ketika perintah sekatan pergerakan.
“Ini adalah bukti ketahanan dan sikap tidak mementingkan diri anak muda kita,” kata Lim.

Bagaimanapun hanya sebahagian sahaja belia yang akan dipilih dan mereka diberikan tugasan yang akan dijalankan secara dalam talian kerana sekatan berikutan pandemik Covid-19.
“Walaupun mereka masih boleh ke lapangan, jumlah sukarelawan terpaksa dikurangkan.
“Sukarelawan membantu secara dalam talian, menjalankan tugas penyelidikan dan menguruskan usaha menerusi media sosial bagi membantu semua rakan kongsi kita untuk terus bergerak walaupun ketika pandemik.
“Mereka turut membantu dengan aktiviti kutipan dana secara online dan menguruskan webinar kerana semuanya berjalan secara dalam talian dengan pantas,” tambah Lim.
Sukarelawan Rasma, Liew Yuet San, 21 berkata beliau memilih program ini kerana perjalanan ke luar negara tidak dibenarkan.
“Saya mula mencari platform sukarelawan tempatan. Dan saya menemui Rasma,” kata Liew yang menyertai Royal Belum, salah satu daripada 18 rakan kongsi organisasi Rasma.
Beliau menjalankan program pendidikan kanak-kanak untuk masyarakat Orang Asli tempatan.

“Saya perasan yang suku Jahai agak ‘tidak terganggu’ dengan pandemik.
“Saya merasakan mungkin kerana kedudukan perkampungan ini yang terpencil, yang mana ia hanya boleh diakses melalui bot. Mereka tidak tahu apa yang berlaku di dunia luar.
“Oleh itu, Royal Belum berkata dengan beberapa NGO seperti Mercy Malaysia dan Kak Enaz berusaha untuk membantu masyarakat ini.”
Seorang lagi sukarelawan Rasma, Nur Aleeya Illyana, 26, berkata, beliau tertarik dengan cara NGO ini memberikan khidmat kepada mereka yang memerlukan walaupun terdapat sekatan berikutan pandemik.
“Disebabkan pandemik, ada organisasi yang terpaksa mengurangkan atau membatalkan aktiviti. Bagaimanapun kerja-kerja tidak terhenti bagi mereka.
“Keazaman mereka memberi inspirasi kepada saya untuk menggunakan setiap pengalaman dan peluang.”
Dalam tempoh tiga bulan melakukan kerja sukarelawan, Nur Aleeya berurusan dengan tiga organisasi – the Roots & Shoots Malaysia office, Free Tree Society Bangsar dan Turtle Conservation Society of Malaysia.
Antara pengalaman yang tidak dapat beliau lupakan adalah ketika membawa lensa kamera seberat 3 kilogram untuk kerja dokumentasi spesis Siamang di Pahang dan memahami bagaimana konservasi penyu di Terengganu memberi kesan kepada masyaraat miskin.

“Saya berpengalaman untuk bersama-sama dengan wanita tempatan di Kampung Pasir Gajah yang kebanyakan penduduknya adalah golongan B40. Merekalah yang menghasilkan cenderamata untuk dijual (oleh NGO).
“Ramai yang fikir inisiatif ini hanya memberi impak kecil, saya saksikan dengan mata saya sendiri bagaimana gembiranya mereka dapat menjana pendapatan.
“Kerja-kerja membantu konervasi penyu sebenarnya memberi kesan kepada kehidupan mereka yang ramai orang mungkin tidak faham,” kata Nur Aleeya.
Pelajar perubatan Wafiq Aqil, 19 berkata beliau tertarik dengan keterbukaan Rasma untuk menerima golongan belia yang masih belum mempunyai pendidikan dalam bidang kerja sukarelawan.
“Saya sangat gembira untuk menjadi sukarelawan Persatuan Primatologi Malaysia, iaitu kerja berkaitan dengan spesis primat.
“Saya ditugaskan untuk membantu penyelidik mendapatkan data spesis mamalia yang berkaitan dengan kubung,” katanya merujuk kepada satu spesis primat yang diancam kepupusan.
Beliau berkata kerja pengumpulan data, yang kebanyakannya melakukan pengukuran, tidak memerlukan kepakaran. – 13 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen