Ada apa dengan harta RM62 bilion di bumi Kedah?


Zaim Ibrahim

Sebuah syarikat diberi permit menjalankan kerja penerokaan mineral nadir bumi di Kedah yang mana ia mampu memberi hasil RM62 bilion kepada negeri berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2020.

NEGERI Kedah yang terkenal dengan negeri jelapang padi menjadi bualan hangat apabila sebuah syarikat diberi permit menjalankan kerja penerokaan mineral nadir bumi di negeri itu.

Menteri Besar Sanusi Md Nor dalam pengumuman 2 Disember berkata, unsur nadir bumi (REE) itu mampu memberi hasil RM62 bilion kepada negeri.

Ia merupakan anggaran daripada kesemua simpanan mineral yang dianggar berjumlah RM43 trilion dalam bumi Malaysia, katanya.

The Malaysian Insight menyenaraikan apa yang diketahui setakat ini.

Apa itu REE?

Nadir bumi atau tanah jarang merupakan kumpulan 17 unsur yang lazim ditemui di dalam bumi bersama mineral tertentu seperti kuprum, plumbum, platinum dan emas.

Ia terdiri daripada Candium, Yttrium, Lanthanum, Cerium, Praseodymium, Neodymium, Promethium, Samarium, Europium, Gadolinium, Terbium, Dysprosium, Holmium, Erbium, Thulium, Ytterbium and Lutetium.

Unsur ini menerima permintaan tinggi pada waktu ini untuk pembuatan bateri, magnet dan semikonduktor serta penghasilan alat elektronik, panel solar dan juga kenderaan elektrik.

Lonjakan permintaan ini menjadi spekulasi terutama apabila harga bahan api petroleum dijangka tidak akan melonjak ke paras lebih tinggi walaupun selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Jangkaan itu juga memberi alamat buruk kepada ekonomi negara yang terus bergantung kepada petroleum sebagai sumber pendapatan utama.

Adakah ini julung kalinya Malaysia keluar REE?

Sekiranya usaha itu berhasil, akan menjadi pengeluaran pertama, tetapi pemprosesannya sudah lama dijalankan, dengan pelbagai kontroversi.

Sebuah kilang memproses sumber itu beroperasi di Perak sejak 1979. Penemuan sisa berbahaya thorium hydroxide di Papan sebuah kampung dekat Bukit Merah dikaitkan dengan kilang itu.

Pencemaran radioaktif itu juga dikaitkan dengan perkembangan barah di kalangan penduduk.

Saman yang dimulakan lapan penduduk pada 1985 kemudian membawa kepada penutupan kilang tersebut, Asia Rare Earth Sdn Bhd pada 1994.

Sejurus sebelum pilihan raya umum 2013, sebuah lagi kilang memproses nadir bumi Lynas mula beroperasi di Gebeng, Kuantan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional.

Usaha itu dibantah oleh Pakatan Harapan melalui siri perhimpunan besar seluruh negara.

Bagaimanapun selepas menguasai Putrajaya, kerajaan gabungan parti itu menganugerahkan lanjutan lesen operasi selama tiga tahun bagi operasi kilang itu.

Pada masa sama, kerajaan Perak pimpinan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang masih bersama Pakatan Harapan pada masa itu juga memulakan usaha penerokaan REE.

Beliau menandatangani perjanjian dengan Chinalco GXNF Rare Earth Development bagi membolehkan kerja penerokaan dimulakan di negeri itu.

Sebuah kilang memproses nadir bumi Lynas yang dibenar beroperasi di Gebeng, Kuantan mendapat bantahan Pakatan Harapan melalui siri perhimpunan besar seluruh negara. – Gambar EPA, 12 Disember, 2020.

Adakah REE sudah dijumpai di Kedah?

Deposit sebenar REE itu belum dijumpai. Saiz sebenar kandungan REE dan perut bumi Kedah itu juga belum dapat dipastikan.

Sanusi hanya mengumumkan kelulusan permit kepada sebuah syarikat berpangkalan di Lembah Klang untuk melakukan aktiviti penerokaan bagi menentukan perkara itu.

Jelasnya, unsur berkenaan ditemui di Sik, UIu Muda di Baling, Kedah serta sedikit di Lenggong, Perak dan penerokoaan akan dijalankan di kawasan yang telah diberitahu kepada pihaknya.

Apa kesan ke atas alam sekitar?

Kalangan NGO antara lain bimbang perlombongan untuk mengeluarkan mineral terbabit akan memusnahkan hutan di negeri Kedah dan mengganggu ekosistem.

Antaranya Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menegaskan sebarang bentuk perlombongan akan memberi risiko tinggi kepada alam sekitar.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata walaupun ia bertujuan mengekstrak unsur tidak beradioaktif, ia tetap akan menemui bahan beradioaktif thorium dan uranium.

Perlombongan dan pemprosesan nadir bumi merupakan proses paling berbahaya kepada alam sekitar berbanding aktiviti perlombongan lain, sejak sisa radioaktif terbentuk.

“Amang radioaktif paras rendah daripada kehadiran thorium dan uranium dalam bijih unsur nadir bumi berpotensi berbahaya dan pengendalian yang tidak sempurna bahan ini boleh mengakibatkan kerosakan kesihatan dan alam sekitar yang amat besar sekali,” kata beliau.

Mohideen menambah, pendedahan thorium dan uranium kepada manusia antara lain akan menyebabkan kanser paru-paru dan pankreas.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia pula mengesyaki perlombongan itu hanya helah untuk mengeluarkan balak dari hutan di Kedah.

Presidennya Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kawasan cadangan pengekstrakan itu terlampau luas selain melibatkan kawasan hutan simpan.

Dakwanya, ia antara lain melibatkan, Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik seluas 20,234.3 hektar dan Hutan Simpan Gunung Bongsu di Kulim seluar 25,292.85 hektar.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kawasan cadangan pengekstrakan terlampau luas selain melibatkan kawasan hutan simpan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2020.

Selain itu, ia juga melibatkan Hutan Simpan Sintok di Padang Terap seluas 10,855.69 hektar selain tanah status pertanian merangkumi 40,468.56 hektar, katanya.

Kekaburan mengenai usaha tersebut memaksa NGO seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Kedah mendedahkan kepada umum penjanjian berkenaan.

Presidennya Meenakshi Raman juga mendesak agar kegiatan syarikat terbabit dan lokasi penerokaan serta langkah-langkah perlindungan alam sekitar didedahkan.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pula mendesak penerokaan berskala besar itu dihentikan dahulu kerana melibatkatan kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di utara.

Ketua Pegawai Eksekutif  Ir Jaseni Maidinsa berkata ini kerana pengeluarannya pasti melibatkan pembukaan tanah berskala besar di mana sahaja mineral tersebut ditemui.

Selain itu, penebangan pokok, perataan bukit, kerja mendirikan kuari besar dan menggali ke bumi akan menyebabkan kemusnahan besar di persekitaran hutan hujan.

Selanjutnya, perlombongan di Ulu Muda di Sik dan Baling itu akan memberi kesan buruk kepada Sungai Muda sebagai sumber air yang strategik.

Beliau mengingatkan kira-kira 70% air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda serta lebih 80% air Pulau Pinang dari punca yang sama.

Benarkah pengeluaran REE akan musnahkan alam, sumber air?

Menteri besar hanya menjelaskan proses penerokaan pada masa ini yang tidak akan melibatkan penebangan hutan kerana hanya menggunakan proses penyedutan atau ekstrak.

“Kita bagi permit teroka, bukan cari gali. Teroka ini untuk cari betul atau tidak ada seperti yang dilaporkan.

“Teroka dulu takut ada. Benda dekat bawah bumi, tiada siapa yang nampak, jadi bagi permit teroka, kalau ada Alhamdulillah,” kata beliau.

Kedah yang terkenal dengan negeri jelapang padi menjadi bualan hangat apabila sebuah syarikat diberi permit menjalankan kerja penerokaan mineral nadir bumi di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2020.

Beliau turut memberi keyakinan bahawa aktiviti teroka tidak akan melibatkan penebangan hutan.

“Dia ada teknologi baru dipanggil esktrak. Saya ditunjukkan video REE boleh disebut dari bawah tanah, dia tak seperti kita melombong bijih timah, emas atau bauksit.

“Ia tidak sama dan kita ada kaedah lain menggunakan teknologi baharu,” tambah beliau.

Beliau juga memberi jaminan Kedah belum melaksanakan perlombongan REE.

Apa kata Putrajaya?

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengumumkan akan mengaktifkan semula Majlis Mineral Negara (MNN) untuk menilai prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE.

Menterinya Shamsul Anuar Nasarah memberitahu Dewan Rakyat, SOP itu akan dibentuk secara bersama membabitkan agensi persekutuan dan negeri sebelum kelulusan melombong diberikan.

“Mesyuarat pertama MNN dijangka diadakan pada penghujung bulan ini,” katanya. – 12 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen