Krisis MB Perak dedah ketamakan Umno dan Perikatan, kata Kor Ming 


Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata partinya tidak mengalami apa-apa kerugian kerana masih berpegang kepada prinsip.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) di Perak masih berpegang kepada prinsip ketika Umno dan Perikatan Nasional menunjukkan ketamakan mereka berhubung krisis menteri besar di negeri itu, kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Beliau berkata PH Perak tidak berdepan masalah walaupun gagal berunding dengan Umno untuk membentuk kerajaan baru, kerana masih berpegang kepada  prinsip dan mampu bertahan.

“Dalam keseluruhan episod, PH tidak mengalami apa-apa kerugian terutamanya dalam apa yang kita pertahankan. Rakyat boleh melihat PN dan Umno kejar kepentingan peribadi berbanding menjaga kebajikan rakyat,” kata Nga dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, ahli Parlimen Teluk Intan dan Adun Aulong itu menerima kritikan daripada penyokong dan akar umbi parti kerana menyatakan kesanggupan DAP Perak untuk berunding dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Krisis itu berlaku apabila Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu meletakkan jawatan sebagai menteri besar selepas gagal memenangi undi usul percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri pada 4 Disember lalu.

Nga hari ini berkata beliau hanya mendakwa kesanggupan DAP Perak untuk berunding selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti Melayu itu sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk PH untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata melalui rundingan itu, PH Perak tegas menuntut agar Umno menerima gabungan tiga parti pembangkang sebagai satu blok.

“Semasa rundingan, Umno membuat banyak tawaran termasuk jawatan exco kepada PKR dan Amanah tetapi tidak termasuk DAP. Sekiranya tawaran ini diterima, PH Perak akan hancur kerana kesatuan gabungan akan tergugat,” kata Nga.

PH Perak juga bertegas bahawa mana-mana kerajaan dengan Umno mestilah berbilang kaum, bersih, lestari dan berpandukan integriti, tadbir urus yang baik dan keadilan.

DAP juga menuntut perjanjian bertulis mengenai prinsip di atas, tambah Nga.

Akhirnya tidak ada kesepakatan yang dicapai kerana Umno tidak dapat menerima terma dan syarat PH, kata Nga.

“Oleh kerana Umno memilih untuk tetap bersama kleptokrat, PH akan teruskan tanpa kerjasama dengan mereka.”

Beliau juga berkata, jelas bahawa Zahid telah meminta maaf secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah berhubung pengkhianatan Umno terhadap Bersatu dan PAS, kerana usul percaya yang dibangkitkan terhadap Ahmad Faizal dibawa oleh seorang Adun Umno.

“Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga terpaksa menerima menteri besar pilihan Umno.

“Kedua-dua Umno dan Bersatu telah membuktikan kepada negara bahawa mereka adalah pemimpin yang lemah tanpa prinsip.

“Manakala PAS adalah parti oportunis yang terpaksa membuat pusingan-U untuk bergabung kembali dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Umno,” kata Nga. – 11 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen