POLIS menahan dua lelaki dan merampas dua laras senapang bersama 12 butir peluru dalam dua serbuan di kawasan kebun di Belukar Semang, Kampung Tasek dekat Pengkalan Hulu, semalam.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu DSP Zulkepli Ibrahim berkata dalam tangkapan pertama kira-kira pukul 11 pagi, sepasukan polis daripada cawangan D9 (Siasatan Khas), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan seorang lelaki berumur 34 tahun.
Katanya selepas disoal siasat, suspek kemudian menunjukkan satu bungkusan yang disorok di dalam perdu buluh di kebun itu yang di dalamnya mengandungi selaras senapang raifal tertera buatan Czechoslovakia dan satu kelopak berisi tiga butir peluru berukuran 0.22 milimeter (mm).
“Siasatan awal mendapati suspek tidak mengaku sebagai pemilik senjata dan mendakwa ia milik rakannya. Suspek juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan di Pengkalan Hulu hari ini.
Mengenai tangkapan kedua, Zulkepli berkata sepasukan anggota daripada cawangan D9, JSJ IPK Perak bersama cawangan D8 (Operasi Khas) Bukit Aman telah menahan seorang lelaki warga emas berumur 65 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah hari berdekatan kebun pisang di Belukar Semang.
Katanya, berdasarkan pandu arah oleh suspek, polis kemudian membuat pemeriksaan ke atas sebuah pondok di kebun miliknya itu dan menemukan selaras senapang patah tanpa jenama berhulu kayu, satu beg pinggang dan sembilan butir peluru penabur yang disorokkan di bawah meja kayu.
“Suspek mengakui sebagai pemilik senjata tersebut yang dibelinya kira-kira tujuh tahun lepas daripada seorang lelaki tidak dikenali dengan harga RM3,500 berserta 70 butir peluru bercampur-campur,” katanya.
Beliau berkata suspek memberitahu senjata itu dibeli bagi kegunaan menjaga kebun daripada serangan babi hutan dan haiwan liar.
Katanya, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman sehingga 15 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. – Bernama, 11 Disember, 2020.
Komen