SEORANG wartawan wanita yang juga merupakan aktivis maut ditembak di Afghanistan oleh beberapa penyerang pada Khamis, kata majikannya.
Malalai Maiwand, berusia 20-an, menjadi wartawan kedua terbunuh dalam sebulan di negara itu, dibunuh bersama pemandu Mohammad Tahir di bandar Jalalabad di timur ketika bekerja, kata Enekaas TV, saluran televisyen swasta tempatnya bertugas.
Wartawan, yang ibunya juga seorang aktiviti turut dibunuh lelaki bersenjata tidak dikenali lima tahun lalu, pernah bersuara mengenai kesukaran menjadi wartawan wanita di bawah sistem patriarki ultra-konservatif Afghanistan.
Kematian Maiwand sebagai sasaran pembunuhan tokoh terkemuka semakin meningkat ketika keganasan melonjak, walaupun terdapat rundingan damai yang sedang berlangsung antara kerajaan dan Taliban.
Kumpulan militan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.
Dalam satu kenyataan di saluran Telegram, kumpulan itu berkata Maiwand menjadi sasaran kerana beliau “setia kepada rejim Afghanistan yang murtad”.
Sejak bertahun lamanya, IS mengaku melancarkan beberapa serangan maut di wilayah Nangarhar, yang juga sering terjadi pertempuran antara pasukan kerajaan dan Taliban.
Attaullah Khogyani, jurucakap gabenor wilayah Nangarhar, dan hospital tempatan mengesahkan kematian tersebut.
Petang Khamis, pihak berkuasa Afghanistan berkata agensi perisikan negara berjaya menangkap mereka yang terlibat dalam pembunuhan Maiwand.
“Mereka yang ditangkap mengaku menyerangnya,” tulis Gabenor Nangarhar, Ziaulhaq Amarkhil di laman Facebooknya.
Jurucakap kementerian dalam negeri Tariq Arian juga berkata dua orang telah ditangkap.
Jurucakap Presiden Ashraf Ghani, Sediq Sediqqi turut mengutuk pembunuhan Maiwand.
“Serangan pengganas ke atas Malalai Miwand sangat mengejutkan dan keji,” tulis Sediqqi di Twitter. “Keganasan yang tidak masuk akal terhadap rakyat kita mesti berakhir”
Pembunuhan Maiwand berlaku hanya beberapa minggu selepas wartawan Radio Liberty, Aliyas Dayee terbunuh dalam serangan bom kereta di Lashkar Gah.
Pihak Human Rights Watch berkata Dayee sebelum itu pernah diugut oleh Taliban.
Pada Khamis, Arian berkata seorang suspek ditangkap berkaitan dengan pembunuhan Dayee.
Seorang bekas penyampai televisyen di Kabul, Yama Siawash, terbunuh dalam serangan bom kereta serupa di rumahnya bulan lalu.
Setakat ini belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan Dayee dan Siawash.
Pasukan Afghanistan bergelut memerangi peningkatan kekerasan, sebahagian besar dilancarkan oleh Taliban ketika mereka berusaha mendapatkan pengaruh dalam rundingan damai di Qatar, yang bermula pada September. – AFP, 11 Disember, 2020.
Komen