PUSAT tuisyen bergelut untuk mengekalkan murid, ketika ibu bapa mengurangkan perbelanjaan dalam menghadapi ketidakpastian yang disebabkan oleh wabak Covid-19.
Ini ditambah dengan kesukaran menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian dan kekurangan infrastruktur, yang menyaksikan penurunan jumlah murid di kebanyakan pusat tuisyen sebanyak 30% hingga 50%, kata persatuan pusat tuisyen.
Pengerusi Persatuan Pusat Tuisyen Malaysia Lim Seng Huat memberitahu The Malaysian Insight, bilangan lebih banyak di bandar kecil dengan akses kepada pembelajaran dalam talian menjadi satu masalah.
Ramai murid tidak dapat menyesuaikan diri dan kekurangan disiplin diri yang diperlukan bagi kaedah pembelajaran ini, selain kekurangan infrastruktur dan peralatan menambah cabaran, menyebabkan mereka hilang minat.
“Kawasan bandar seperti Kuala Lumpur mempunyai liputan rangkaian lebih baik dan mempunyai peralatan dan peranti diperlukan.
“Di bandar-bandar kecil, pusat tuisyen berkata mereka tidak dapat melaksanakan pelajaran dalam talian kerana kekangan ini dan kehilangan banyak murid,” katanya dan menganggarkan angka keseluruhan yang keciciran sekolah sebanyak 30%.
Dengan cuti sekolah Disember, lebih ramai ibu bapa dijangka menghentikan pelajaran tuisyen untuk anak-anak mereka.
Lim berkata sekurang-kurangnya 100 pusat tuisyen di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang memaklumkan kepada persatuan yang mereka merancang untuk menghentikan operasi.
“Kami hanya dapat menggesa ahli bertahan semampu mungkin, dengan harapan keadaan akan bertambah baik.”
Persatuan ini sudah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan yang meminta kriteria diperluas untuk program subsidi gaji kerajaan bagi perniagaan, agar melayakkan pusat tuisyen.
Beberapa pemilik juga mencari cara lain untuk bertahan akibat penurunan ini.
Ken Yap Chun Keat, yang menjalankan pusat tuisyen selama lima tahun, mula menceburkan diri dalam penghantaran makanan dan pembaikan komputer.
“Saya mempertimbangkan untuk menukar kerjaya selepas wabak, tetapi setelah memikirkannya, saya berasa lebih gembira dalam dalam pendidikan. Jadi, saya berusaha sebaik mungkin untuk memiliki pelbagai sumber pendapatan untuk bertahan dalam tempoh ini.”
Beliau pada asalnya mempunyai dua pusat tuisyen tetapi mengambil keputusan menutup satu dan menjadikan yang satu lagi sebagai pusat pembelajaran dalam talian yang lengkap.
Yap menanti wabak reda dan akan membuka semula pusat tuisyen kepada kelas fizikal, kerana ia terletak berhampiran sekolah.
“Ini mempunyai peluang yang lebih baik untuk bertahan (berbanding pusat tuisyen satu lagi). Jadi, saya akan mengekalkannya.”
Beliau berkata sejak beroperasi sepenuhnya dalam talian, kos dapat dikurangkan sebanyak 40% hingga 50%.
Dengan penjimatan itu, beliau dapat membayar gaji guru dan juga memberi diskaun kepada murid yang memerlukan.
Seorang lagi pemilik pusat tuisyen, Lee Shun Rong dari Batu Pahat, Johor, berkata pusatnya, Shin’s Tuition, kehilangan hampir 50% muridnya antara Mac hingga Julai, ketika perintah kawalan pergerakan menyebabkan sekolah ditutup pada pertengahan Mac.
“Sukar untuk memastikan pusat tuisyen terus beroperasi kerana kelas tambahan bukanlah perbelanjaan yang diperlukan, dan kami tidak mendapat bantuan kerajaan yang mencukupi,” kata Lee.
Beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan mengubah pusatnya menjadi ruang kerja untuk guru merakam atau menjalankan pelajaran dalam talian secara “live”.
“Kami menyediakan peralatan dan penyelesaian untuk membantu guru menjalankan kelas dalam talian mereka.”
Dengan kata lain, pusat tuisyennya kini turut dibuka untuk guru, yang merupakan pelanggannya dengan membayar bagi penggunaan kemudahan dan ruang.
Ini turut membantu menjana pendapatan pusat tuisyennya selepas mengalami pengurangan bilangan murid, tambahnya.
“Para guru juga mengajar murid mereka sendiri menggunakan kemudahan kami. Dengan kata lain, mereka boleh menggunakan pusat kami untuk menjalankan urusan mereka sendiri, dan keadaan sekarang lebih baik untuk semua orang.” – 11 Disember, 2020.
Komen