Mayat wanita ditemukan terapung di Pulau Jemuruk, Langkawi


MAYAT wanita dengan keadaan perut yang sudah mengembung ditemukan terapung berhampiran Pulau Jemuruk, Langkawi pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu pada 10.15 pagi.

“Pihak polis menghubungi Bilik Gerakan Maritim bagi memaklumkan perkara tersebut dan pihak Maritim membawa mayat itu ke Pengkalan Jeti Maritim di Bukit Malut sebelum menghubungi pihak Kementerian Kesihatan (KKM) Langkawi untuk pengesahan kematian.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk tindakan lanjut, bagaimanapun mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar menggunakan bot Polis Marin Langkawi untuk bedah siasat Ahad ini,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Mohd Iqbal berkata pihaknya masih menyiasat identiti mayat yang dijumpai itu dan setakat ini tiada laporan berkaitan kehilangan orang di laut diterima pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Gambar mayat wanita berkenaan tular menerusi aplikasi WhatsApp diiringi dengan pesanan suara yang meminta orang ramai untuk mengenal pasti identiti mangsa. – Bernama, 10 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen