Titah Sultan Perak pada istiadat pelantikan Menteri Besar Saarani Mohamad


Berikut adalah titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 10 Disember 2020.

MAHA suci Allah yang menguasai segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu; yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. 

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda, begitu juga kepada para ulama dan para tabi’in; semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

Susulan kehilangan sokongan majoriti melalui usul undi percaya semasa berlangsungnya Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri yang bersidang pada 4 Disember 2020, ahli Dewan Negeri Chenderiang, Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, menyembahkan watikah memaklumkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak terjejas secara langsung berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan Perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. 

Dengan itu beliau mempersembahkan hasrat meletak jawatan sebagai menteri besar bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Permohonan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang dipersembahkan melalui warkah bertarikh 19 Rabiulakhir 1442 (5 Disember 2020), mendapat perkenan Beta.

Beta menzahirkan titah terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal yang telah melaksanakan tugas menteri besar sejak 12 Mei 2018, setelah mendapat perkenan Beta dua kali mengangkat sumpah jawatan, kali pertama pada 12 Mei 2018, dan kali kedua pada 13 Mac 2020. 

Beta juga menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka. 

Selaras dengan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, pada timbangan Beta, ahli Dewan Negeri Kota Tampan, boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai menteri besar yang baharu. 

Beta menzahirkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Saarani bin Mohamad yang telah diperkenankan untuk diberikan amanah dan tanggung jawab sebagai menteri besar kepada kerajaan Beta.

Jawatan dan kuasa ialah kurniaan Ilahi, selaras dengan firman Allah swt melalui ayat 26 surah Ali Imran, bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. 

“Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” 

Insan beriman akan menghayati sepenuhnya inti pati ayat berkaitan. Sesungguhnya punca kuasa yang dimiliki, bersumberkan Allah swt, lantas akan mengabdikan seluruh kesetiaan kepada Ilahi. 

Dia akan cekal menegakkan yang makruf – tegas menentang yang mungkar. Kekuatannya, perlindungan ke atas dirinya dan benteng ketahanan kepada dirinya datang daripada Ilahi. 

Dia tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan; begitu juga, dia tidak perlu melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri, kerana kekuatan yang diperoleh secara demikian, teramat rapuh sifatnya.

Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikota, atau kata akan bertukar nada – berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih, dan yang putih itu hitam. 

Watak sebenar insan akan terpamer, apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta, lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin.

Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin telah berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan.

Setelah Allah swt mengangkat darjat seseorang insan, amalkan sifat bersyukur kepada Ilahi dengan melakukan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar; amalkan budaya berterima kasih kepada insan-insan yang telah membantu membolehkan kejayaan kita, bermula daripada ibubapa, kaum keluarga, ustaz di surau, imam di masjid dan guru di sekolah, jiran tetangga, rakan kenalan dan masyarakat sekitaran.

Kuasa dan jawatan yang dipinjamkan oleh Allah swt hendaklah diterima sebagai  tanggungjawab yang telah diamanahkan, berpandukan peringatan Ilahimelalui ayat 72 Surah Al-Ahzaab, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada mu, sedang kamu mengetahui.”

Sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14, sudah tiga kali istiadat pelantikan menteri besar dilakukan; perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini; tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan.

Perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan; kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat.

Setiap ahli Dewan Negeri dipilih rakyat kerana rakyat mempercayai anda. Rakyat meletakkan harapan bahawa anda akan dapat membantu untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka, serta membantu memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka. 

Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili oleh Adun Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan, sama ada orang Melayu, orang Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama. 

Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddha, ialah makhluk ciptaan Ilahi; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak; kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni. 

Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu. 

Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud. 

Tanggungjawab dan amanah tidak harus sama sekali dipandang ringan atau diringankan. Jadikanlah panduan peringatan Ilahi yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi serta gunung-ganang, tetapi semuanya enggan memikulnya dan mereka khuatir tidak dapat menyempurnakannya; lalu manusia sanggup memikul amanah itu. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

Amanah yang telah diserahkan akan dinilai oleh Ilahi pada hari kebangkitan di Mahkamah Rabbuljalil, ketika lidah manusia sudah tidak boleh berdolak-dalik, ketika insan tidak akan ada peguam bela melainkan amal makruf yang sempat dilakukan semasa hayat di dunia. 

Semoga setiap seorang daripada kita, daripada sultan yang bertakhta di singgahsana pemerintahan hingga kepada setiap rakyat jelata di serata negeri, dilimpahi Nur Ilahi, menyinarkan panduan ketika memenuhi amanah.

Kemelut kepimpinan kerajaan Beta yang mula tercetus pada 4 Disember lalu, semoganya berakhir. Pelbagai pihak daripada kalangan pakar perundangan, pegawai kerajaan, orang perseorangan dan paling ramai para pemimpin politik daripada Perikatan Nasional, begitu juga para pemimpin politik yang mewakili Pakatan Harapan telah menghadap Beta. 

Kesemua mereka mempunyai niat dan tujuan yang murni mahu membantu agar kemelut yang berlaku dapat ditangani. Pelbagai cadangan, pandangan, pendapat dan saranan telah dipersembahkan, dengan hasrat membantu Beta merungkaikan kekusutan yang dihadapi. Kepada kesemua mereka Beta menzahirkan penghargaan tinggi. 

Beta amat menghargai petugas-petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan, melaksanakan tugas secara tekun lagi komited, melaporkan dan menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat jelata yang mengikuti perkembangan yang sedang berlaku. 

Demikian juga kepada para anggota Polis Diraja Malaysia yang telah membantu mengawal keadaan membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur. 

Penghargaan Beta kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan, dan ahli-ahli Dewan Negara Perak yang telah bekerjasama dalam semangat saling membantu – saling nasihat menasihati, memastikan segala  urusan kerajaan tidak terjejas dan kemelut yang dihadapi berjaya ditangani secara bijaksana. 

Semoga segala khidmat bakti tersebut diterima Ilahi sebagai amal makruf yang diberikan ganjaran dunia – ganjaran akhirat. 

Amin Ya Rabbulalamin. – 10 Disember, 2020.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen