ZON Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) merekodkan peningkatan kendalian kargo sebanyak 53 peratus setakat tahun ini walaupun dalam persekitaran mencabar akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan banyak perniagaan.
Pengurus Besar PKFZ, Safuan Basir berkata ini dijangka menjadikan jumlah pengendalian kargo di PKFZ meningkat kepada kira-kira 500,000 unit (kontena) bersamaan 20 kaki (TEU) berbanding 327,000 TEU pada tahun lepas.
“Peningkatan itu disumbangkan oleh pelbagai industri terutama pembuatan yang terpaksa mengurangkan pengeluaran susulan kemerosotan permintaan akibat Covid-19 dan menyebabkan lambakan bahan mentah yang perlu disimpan.
“Malah gudang simpanan di PKFZ ini juga hampir penuh,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Klang, hari ini.
Turut hadir Pengerusi PKFZ Ir. Lawrence Low Ah Kiong.
Sementara itu, Low memberi jaminan bahawa PKFZ merupakan kawasan yang selamat untuk sebarang aktiviti perniagaan susulan pengenalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19 di kawasan terbabit.
Menurutnya, sejak Mac lepas hanya 55 kes positif direkodkan di PKFZ yang masing-masing membabitkan 51 pekerja asing dan empat pekerja tempatan.
Kes jangkitan itu juga bukan berpunca daripada PKFZ sebaliknya disebabkan oleh kawasan tempat tinggal pekerja asing yang berhampiran dengan kawasan Kluster Perigi.
“Sejak 23 November lepas, tiada sebarang kes positif Covid-19 direkodkan di sini dan kita juga telah mengarahkan kesemua 170 operator di sini untuk menghantar pekerja asing mereka melakukan ujian Covid-19 sebanyak dua kali iaitu pada Jun dan November lepas.
“Hanya mereka yang mempunyai keputusan negatif sahaja dibenarkan masuk bekerja. Sejajar dengan pengumuman Program Saringan Covid-19 bagi Pekerja Asing Secara Bersasar bermula 1 Disember, kita juga akan memastikan operator-operator yang beroperasi di sini untuk mematuhi arahan tersebut,” katanya.
Menurut Low, pada masa ini terdapat 6,500 pekerja di PKFZ, termasuk 2,700 pekerja asing.– Bernama, 10 Disember, 2020.
Komen