
DEWAN Rakyat meluluskan usul memotong peruntukan bagi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) daripada RM85.5 juta kepada RM40.5 juta.
Usul berkenaan dicadangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Abd Rahim Bakri (Kudat-Bersatu) dan diluluskan suara majoriti ahli Parlimen.
“Pengurangan yang saya bentangkan hari ini iaitu sebanyak RM40.5 juta adalah pengurangan yang cukup besar, iaitu pengurangan sebanyak RM45 juta.
“Saya ingin menarik perhatian ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, penolakan usul ini akan menyebabkan jumlah yang diluluskan kembali kepada jumlah yang asal iaitu RM85.5 juta,” katanya.
Rahim berkata Jasa dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) tetapi dengan peranan baharu.
J-Kom katanya bertujuan untuk membangunkan komuniti yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan pemerkasaan komuniti.
“Peranan J-Kom ini adalah untuk membina ekosistem komuniti digital sekali gus mempercepatkan migrasi ke dunia digital bagi mereka yang belum menceburinya,” katanya ketika menggulung usul. – 10 Disember, 2020.
Komen