Ahli Parlimen Pakatan mahu konsesi Bernas dikaji semula


Hailey Chung Wee Kye

Lanjutan konsesi import beras selama 10 tahun yang diberikan kepada Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan membunuh pesaing lain dalam industri beras, kata ahli Parlimen Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2020.

PUTRAJAYA mesti mengkaji semula lanjutan konsesi import beras selama 10 tahun yang diberikan kepada Padiberas Nasional Bhd (Bernas) kerana monopoli itu membunuh pesaing lain dalam industri beras, kata ahli Parlimen Pakatan Harapan.

“Ini akan menyebabkan peluang terlepas. Industri ini akan berada di kedudukan lama untuk 10 tahun mendatang,” kata ahli Parlimen pembangkang dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen itu diketuai oleh bekas timbalan menteri pertanian dan industri makanan Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan dianggotai oleh Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), Chan Ming Kai (Alor Setar) dan Amin Ahmad (Kangar).

Mereka meminta kerajaan untuk mengkaji semula keputusan yang diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang bersetuju konsesi penswastaan Bernas dilanjutkan sehingga Januari 2031.

“Salah satu alasan beras dan sektor beras tidak dapat dilaksanakan adalah kerana monopoli serta dominasi Bernas dalam rantaian nilai beras dan industri beras.

“Kami tidak menolah sumbangan Bernas dalam memastikan kestabilan bekalan dan harga beras semasa wabak berkenaan.

“Kerajaan sebenarnya boleh melanjutkan status monopoli selama dua hingga tiga tahun sehingga pandemik selesai,” katanya. 

Lanjutan monopoli menyebabkan syarikat lain seperti pengeluar, pemborong dan industri hiliran di sektor ini mengalami kerugian, kata mereka.

“Akhirnya banyak pemain industri terpaksa ditutup termasuk ramai pengeluar dan syarikat bumiputera.

“Jumlah pengeluar padi adalah 1,597 pada 1981 tetapi hanya 157 yang tinggal pada 2015,” katanya.

Sebelum ini kerajaan melanjutkan konsesi Bernas pada 2011 untuk menguruskan beras negara selama 10 tahun. Konsesi semasa akan berakhir pada Januari tahun depan.

Ahli Parlimen berkata ketika PH memerintah mereka sudah memulakan proses pembukaan monopoli import secara bertahan untuk memberi manfaat kepada sektor beras.

“Arahannya sudah ditetapkan dalam manifesto PH. Perubahan kerajaan telah menggagalkan rancangan kami.

“Sayangnya kerajaan Perikatan Nasional membuat keputusan sesuai dengan polisi lama masa lalu.

“Oleh itu sektor padi dan beras perlu menunggu 10 tahun lagi sebelum sebarang perubahan dapat dilaksanakan,” katanya.

Mereka menambah walaupun petani menerima subsidi besar (RM1.7 bilion setiap tahun), industri padi tetap terjebak kerana majoriti petani termasuk dalam kategori B40.

Golongan muda juga tidak menunjukkan minat untuk menceburkan diri dalam sektor ini, menyerahkannya kepada golongan miskin dan tua, kata mereka. – 10 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen