AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan menteri besar ke-14 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.
Saarani, 59, dipilih menggantikan Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) pada 5 Disember lepas setelah gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ pada Jumaat lalu.
Pengerusi badan perhubungan Umno Perak sejak 2018 itu mendapat perkenaan Sultan Nazrin untuk dilantik sebagai menteri besar setelah pada pertimbangan baginda beliau boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar Adun.
Saarani juga pernah menjadi menjadi exco Perak dengan memegang beberapa portfolio antaranya exco Pembangunan Luar Bandar dan Perladangan; Penerangan dan Pembangunan Modal Insan; dan yang terakhir Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
Saarani dilantik sebagai ketua pembangkang DUN Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), namun beliau menjawat jawatan itu tidak lama setelah PH tumbang dan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Adun Umno, Bersatu dan PAS mengambil alih pemerintahan negeri.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Ahmad Faizal yang merupakan pengerusi PH Perak dilantik jadi menteri besar ke-12 sebelum meletak jawatan pada 9 Mac 2020 susulan penjajaran politik.
Beliau kemudian dilantik semula menjadi menteri besar ke-13 dengan memimpin kerajaan PN sebelum meletak jawatan pada 5 Disember lalu.
Pelantikan Saarani mengisi senarai menteri besar Perak bersama 11 yang lain iaitu Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1948-1957); Mohamed Ghazali Jawi (1957-1960); Shaari Shafie (1960-1964) dan Ahmad Said (1964-1970).
Kamaruddin Mohd Isa (1970-1974); sebelum Mohamed Ghazali sekali lagi dilantik selama empat tahun dari 1974 hingga 1977; Wan Mohamed Wan Teh (1977-1983), Ngah Talib (1983-1999); Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali (1999-2008); Mohammad Nizar Jamaluddin (2008-2009) dan Dr Zambry Abdul Kadir (2009-2018).
DUN Perak mempunyai 59 kerusi dengan Umno memiliki wakil terbanyak 25 kerusi, diikuti DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – 10 Disember, 2020.
Komen