.jpg)
APA sudah jadi dengan siasatan ke atas dakwaan peguam Shafee Abdullah, yang mengendalikan pendakwaan kes tuduhan liwat Anwar Ibrahim, menerima duit sebanyak RM9.5 juta daripada Perdana Menteri Najib Razak?
Katanya, banyak laporan polis telah dibuat hampir di seluruh Malaysia. Kanun Prosedur Jenayah menyatakan OCPD tempat laporan dibuat wajib beritahu perkembangan laporan polis tersebut. Siasatan ini penting kerana sekiranya terbukti, ia boleh terjumlah kepada kes salah laku pendakwaan (prosecutorial misconduct) terhadap Anwar.
Prosecutorial misconduct merupakan antara alasan sesuatu sabitan kes jenayah menjadi sabitan salah atau wrongful conviction.
Seseorang pendakwa raya perlu adil dan bebas dalam melakukan pendakwaan. Sekiranya seorang pendakwa raya tidak bebas dan bias, misalnya, ia akan memberi impak kepada keterangan dan bukti-bukti yang dipersembahkan kepada mahkamah.
Dalam kes Anwar, terdapat banyak isu yang meragukan yang boleh menyebabkan sabitan kes beliau tidak selamat (unsave conviction):
1. Integriti bukti forensik, iaitu cara dan pendekatan sampel-sampel diambil dan dinilai yang sekiranya cacat boleh disifatkan sebagai salah laku makmal kimia atau crime lab misconduct.
2. Salah laku pendakwaan yang boleh dilihat pada penganjuran ‘road show’ menerangkan kes terhadap Anwar serta bukti baru dakwaan pembayaran RM9.5 juta oleh Najib kepada Shafee yang tidak diketahui hasil siasatannya.
Memandangkan terdapat banyak isu yang melatari sabitan Anwar, rakyat terutama pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu menggesa perkara-perkara di atas disiasat segera.
Suhakam yang bertanggungjawab menasihati kerajaan mengenai hal ehwal hak asasi manusia (mengikut Seksyen 4 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) perlu tegas mengatakan bahawa perbicaraan yang adil tidak berlaku dalam kes Anwar.
Kepada yang membuat laporan-laporan polis tersebut bolehlah hubungi OCPD berkenaan untuk mengetahui apa perkembangan siasatan.
Isu PM sementara tidak timbul sekiranya pimpinan PH dan rakyat masih berpendirian dan berusaha bersungguh-sungguh bahawa sabitan terhadap Anwar adalah satu sabitan yang salah (wrongful conviction) dan terus memperjuangkan untuk pembebasannya.
Seingat saya, rakyat atau pengundi tidak pernah menuntut soal interim PM ini berdasarkan pilihan raya yang lalu. Apa yang mereka suarakan ialah pimpinan yang nak diangkat apatah lagi pimpinan tertinggi mestilah seorang yang berintegriti.
Rakyat dan pengundi faham, dan sentiasa faham, perkara tersebut. Itulah pendirian rakyat semenjak awal perjuangan reformasi bermula! – 22 Disember, 2017.
* Yusmadi Yusoff ialah Koordinator Free Anwar Now.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen