MERUJUK kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan Tabung Wakaf Air Nasional supaya dapat membantu rakyat luar bandar ketika berlalu krisis air, saya sememangnya tidak bersetuju dengan idea tersebut yang lebih pada solusi jangka pendek berbanding jangka panjang.
Menurut ahli Parlimen Kubang Kerian jika setiap penjawat awam menolak RM10 setiap bulan, kerajaan dapat mengumpulkan wang sebanyak hampir RM16 juta sebulan.
Namun begitu, saya menyarankan kepada Tuan Ibrahim supaya menolak gaji bulanan setiap ahli Parlimen dan jemaah menteri dan menyumbangkannya dalam tabung tersebut berbanding meminta penjawat awam yang rata-ratanya bukanlah bergaji besar.
Bulan lepas kita dikejutkan dengan kenaikan gaji Adun Kelantan ketika ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mengikut perut disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini.
Saya percaya jika Tuan Ibrahim benar-benar prihatin tentang kemaslahatan rakyat, beliau akan mengesyorkannya di Dewan Rakyat dan mengurangkan beban rakyat kebanyakan.
Pada hemah saya, solusi yang ditawarkan oleh Tuan Ibrahim hanya untuk jangka masa pendek. Sepatutnya sebagai seorang menteri beliau mengkaji dan mencari solusi yang lebih efektif untuk mengatasi masalah air ini.
Apa guna jadi menteri jika tidak mampu menawarkan solusi pada rakyat? Ini tugas beliau sebagai menteri alam sekitar dan air. Jika tidak mampu cari solusi yang efektif buat rakyat jangan pula menambah beban di bahu rakyat.
Jika benar kerajaan ini kerajaan yang prihatin, buktikan dengan kesanggupan jemaah menteri untuk memotong gaji bulanan mereka bagi membantu rakyat menghadapi krisis air.
Usah menangguk di air yang keruh cuba menggunakan jawatan yang ada untuk menekan rakyat lebih-lebih lagi di saat kemelesetan ekonomi hari ini. – 10 Disember, 2020.
* Yuslaini Azmi, setiausaha Unit Pendidikan AMK Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen