Menjawab menteri kewangan seputar cukai durian runtuh


BARU-baru ini, terdapat gesaan agar syarikat-syarikat pembuat sarung tangan getah dikenakan ‘cukai durian runtuh’ (windfall tax) atas keuntungan luar biasa yang dinikmati oleh pemain industri tersebut semenjak tercetusnya pandemik Covid-19.  

Bagaimanapun, dalam program “Ruang Bicara” kelolaan TV Bernama, Menteri Kewangan Tengku Zafrul  Abdul Aziz telah menolak cadangan tersebut dengan mengatakan bahawa cukai sebegini bakal memberi isyarat salah kepada para pelabur. 

Malah, beliau berpendapat cukai durian runtuh juga bakal menyebabkan pemain industri pembuatan berhijrah ke Vietnam atau Indonesia. Selain itu, beliau juga mencabar hadirin untuk menamakan negara di rantau ini yang mengenakan cukai ini .  

Sebelum menjawab kenyataan-kenyataan menteri kewangan di atas, penting untuk kita memahami apa yang dimaksudkan dengan cukai durian runtuh. 

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, peribahasa durian runtuh bermaksud ‘mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka atau dengan tidak bersusah-payah.’ 

Oleh yang demikian, cukai durian runtuh bolehlah didefinisikan sebagai sejenis cukai yang dikenakan terhadap perusahaan yang menerima keuntungan yang tidak disangka-sangka. 

Justeru, mari kita uji kedua-dua komponen dalam peribahasa durian runtuh bersabit dengan pengeluar sarung getah di negara ini. 

Pertama, adakah pengeluar sarung tangan getah negara memperoleh keuntungan? Ya. Pada 2019, Top Glove Berhad yang juga merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia mencatatkan keuntungan sebanyak RM367.5 juta. 

Manakala setakat 31 Ogos 2020, Top Glove telah pun mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.79 bilion yang merupakan peningkatan sebanyak 487%!

Selain Top Glove, terdapat tiga lagi syarikat pengeluar sarung tangan getah yang sering digelarkan sebagai ‘Empat Kuasa Besar’ (The Big Four) iaitu Hartalega Holdings Berhad, Kossan Rubber Industries Berhad dan Supermax Corp Berhad. 

Setakat suku keempat tahun 2020, keempat-empat syarikat ini mencatatkan keuntungan bersih (selepas cukai) sebanyak RM4.13 billion. 

Untuk rekod, keuntungan supernormal ini juga merupakan keuntungan tertinggi yang pernah dicatatkan semenjak penubuhan syarikat-syarikat tersebut.

Kedua, adakah mereka memperolehi keuntungan tersebut secara ‘tidak disangka-sangka’? Ya. Kerana tiada pakar yang menjangkakan ‘ketibaan’ pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan permintaan mendadak terhadap sarung tangan getah dunia. 

Untuk rekod, cukai durian runtuh bukanlah sistem percukaian yang asing di negara ini. Malah, cukai ini telahpun dikenakan ke atas pemain industri kelapa sawit misalnya. 

Bermula 1 Januari 2020, levi sebanyak 3% bakal dikenakan jika harga minyak sawit mentah mencecah RM2,500 per tan (RM3,000 di Sabah dan Sarawak). 

Malah, pada 2008, cukai durian runtuh juga telah dikenakan kepada penjana kuasa bebas (IPP) sebanyak 30% terhadap pulangan ke atas aset (return on assets) yang melebihi 9%. 

Selain itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) keuntungan durian runtuh sebegini bersifat peralihan ataupun ‘sekali sahaja’ (one off). Oleh itu, secara alami, cukai durian runtuh ini juga dikenakan sekali sahaja dan tidak berulang. 

Justeru, kegusaran yang ditimbulkan oleh menteri kewangan tidak berasas kerana sifat-sifat cukai durian runtuh seperti yang diperincikan di atas.   

Kendatipun begitu, pujian harus diberikan kepada keempat-empat syarikat di atas yang telah pun bersetuju untuk menderma sebanyak RM400 juta kepada kerajaan melalui Tabung Covid-19 yang kebanyakannya akan digunakan untuk membeli vaksin dan menampung perbelanjaan peralatan perubatan. 

Bagaimanapun, dengan mengguna pakai penanda aras cukai yang dikenakan kepada IPP pada tahun 2008 (30%), secara matematiknya kerajaan berpotensi untuk menerima durian runtuh sebanyak RM1.23 bilion iaitu 3 kali ganda berbanding derma yang dijanjikan di atas. 

Secara teori, baki RM800 juta tersebut boleh digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membina dua buah hospital di kawasan bandar atau empat buah hospital di kawasan luar bandar.  – 10 Disember, 2020.

* Dr Mohd Zaidi Md Zabri adalah pensyarah kanan Jabatan Kewangan & Perbankan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya.   

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen