AKTIVIS Wong Yan Ke merupakan penerima pertama dana pertahanan undang-undang yang ditubuhkan oleh kumpulan sivil tempatan bagi membantu mereka yang disiasat.
Dana baru yang dibentuk oleh Freedom of Expression Cluster (FOE Cluster) ini dilaksanakan oleh organisasi masyarakat yang memperjuangkan demokrasi di Malaysia dan dipengerusikan bersama oleh Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ) dan Artikel 19 Malaysia.
Pusat Konstitusionalisme dan Hak Asasi Manusia Malaysia (MCCHR) menguruskan dana itu yang diperoleh melalui kerjasama dengan organisasi antarabangsa yang berkongsi visi sama.
Selain membiayai perbelanjaan undang-undang, dana ini juga menawarkan bantuan wang tambahan.
Wong bekas pemimpin pelajar dan bekas presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany) didakwa di mahkamah bulan lalu kerana tidak mematuhi perintah polis untuk menghentikan rakaman video dalam satu serbuan polis di rumah aktivis pelajar lain.
Dia didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan maksimum atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Wong juga didakwa pada awal Februari di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung protes terhadap naib canselor yang dilakukannya pada majlis konvokesyen.
“Saya sangat sedih ketika itu, saya tertanya-tanya bagaimana saya mahu mencari dana untuk ikat jamin. Saya seorang pegawai penyelidik NGO dan saya juga graduan baharu. Gaji saya sekitar RM2,500 dan ikat jamin adalah 40% dari gaji saya,” katanya.
“Saya kemudian dihubungi oleh CIJ untuk memohon Dana Pertahanan Undang-Undang, jadi saya membuat keputusan untuk mendaftar dan dalam beberapa jam saya ditemuramah mengenai status saya.
“Saya menghargai semua kakitangan yang bekerja lebih masa dan berusaha menolong saya. Dari pemahaman saya, panel atau lembaga menganalisis dan menerima permohonan saya pada malam itu. Keseluruhan proses hanya memakan masa kurang dari 24 jam,” katanya.
Wong berkata dana itu dimasukkan ke dalam akaunnya dan dia berjaya membayar jaminan RM1,000 pada keesokan harinya. – 9 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen