LHDN akan buru siapa yang untung semasa wabak Covid-19, kata pakar


Khoo Gek San

LHDN dijangka akan meningkatkan pemantauan ke atas syarikat berkaitan peralatan perubatan; teknologi digital; logistik dan insurans, yang memperoleh keuntungan meski ekonomi terjejas akibat pandemik, kata pakar percukaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2020.

PAKAR percukaian menjangkakan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) akan aktif memburu syarikat dan individu yang membuat untung semasa pandemik Covid-19.

LHDN dijangka akan meningkatkan pemantauan ke atas syarikat berkaitan peralatan perubatan, teknologi digital, logistik dan insurans, yang memperoleh keuntungan meski ekonomi terjejas akibat pandemik, kata pakar.

Individu yang memperoleh pendapatan menerusi internet, misalnya ‘influencer’ media sosial juga berkemungkinan tidak terkecuali dari sasaran lembaga itu.

Rakan pengurusan Reanda LLKG International Koong Lin Loong berkata Kementerian Kewangan mulanya menjangkakan hasil RM75.5 bilion dari cukai syarikat bagi tahun ini. Bagaimanapun, jangkaan menurun kepada RM59.4 bilion susulan pandemik Covid-19.

Cukai individu pada 2020 akan hanya mencecah RM35.9 bilion, susut 4% berikutan pemotongan gaji dan pemberhentian kerja.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion. Pendapatan bagi 2020 bagaimanapun diunjurkan susut sebanyak 14% kepada RM227.3 bilion berbanding 2019 ekoran hasil pungutan cukai yang merosot.

Koong, yang juga merupakan akauntan percukaian berkanun dan juruaudit bertauliah, menjangkakan bagi 2021 kerajaan mensasarkan RM65 bilion bagi cukai korporat, iaitu peningkatan sebanyak 9% dan cukai individu RM43 bilion, peningkatan sebanyak 18%.

Menurutnya, LHDN akan memburu syarikat yang mempunyai perbezaan ketara pada keuntungan kasar dan pendapatan bersih.

Pakar percukaian berkata syarikat dalam sektor kesihatan dan industri berkaitan seperti pengeluar sarung tangan getah dan pelitup muka serta peralatan perlindungan diri tidak dapat mengelak dari diburu LHDN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2020.

Chua Tia Guan, ketua perunding cukai dan kewangan di Asia Business Centre, pula berkata pegawai cukai berkemungkinan tidak akan menyasarkan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan yang teruk terjejas akibat Covid-19.

Bagaimanapun, syarikat dalam sektor kesihatan dan industri berkaitan seperti pengeluar sarung tangan getah dan pelitup muka serta peralatan perlindungan diri tidak dapat mengelak dari dikejar LHDN, katanya.

Syarikat-syarikat ini dijangka akan menunjukkan prestasi memberangsangkan pada 2021, tambah Chua.

Beliau turut menjangkakan sektor insurans tidak terkecuali dari sasaran LHDN, memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia mendapatkan insurans perlindungan diri di tengah wabak Covid-19.

Sekatan pergerakan juga melonjakkan industri logistik dan e-dagang, kata Chua.

Bagi cukai individu, Koong berkata mereka yang banyak menderma dan membeli hartanah turut berkemungkinan menjadi antara sasaran LHDN.

Begitu juga ‘influencer’ media sosial, pekerja dan kontraktor ekonomi gig serta usahawan yang tidak terjejas akibat Covid-19.

Tambah beliau, LHDN akan menggunakan data raya untuk mengesan sasaran mereka.

“Dalam era data raya, anda perlu kemukakan penyata cukai walaupun anda peroleh pendapatan sebagai pekerja ekonomi gig, atau sebagai penghantar makanan. LHDN akan tahu jenis pendapatan anda, kerana tidak susah untuk mendapatkan maklumat dengan adanya data raya,” jelas Koong.

Chua juga berkata LHDN akan menyiasat individu yang hidup mewah di luar kemampuan mereka, dan sekiranya gagal menjelaskan sumber kekayaan, mereka akan dikenakan cukai yang tinggi.

Menurutnya lagi, sejak tiga tahun lalu LHDN telah membangunkan sistem audit komprehensif yang menyiasat individu mempunyai kekayaan luar biasa.

LHDN juga mempunyai pasukan atau jabatan yang memberi tumpuan kepada pengelakan cukai, VIP atau individu yang berpendapatan tinggi dan terbabit dalam pengubahan wang haram. Lembaga juga mempunyai jabatan yang khusus hanya untuk menyiasat penyata cukai individu dan syarikat.

Malaysia antara 103 negara yang terlibat dalam Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI), yang memberi LHDN akses kepada maklumat pembayar cukai tempatan di luar negara. Ini termasuklah akaun bank, pelaburan dan syarikat mereka di luar negara. – 9 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen