Najib arah siasat kes pindah milik tanah Felda RM270 juta


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  mahu  pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pemilikan tanah melibatkan Felda di Jalan Semarak di ibu negara.

Dalam catatan bersiri di laman Twitter hari ini, Najib  berkata tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku berasaskan laporan siasatan.

“Siasatan akan dijalankan bagi memastikan sekiranya ada kecuaian atau salah laku oleh mereka yang terbabit.

“Langkah memelihara kepentingan Felda dan peneroka perlu diambil,” katanya.

Beliau juga meminta Felda mengambil tindakan yang sepatutnya bagi melindungi kepentingannya setelah dimaklumkan mengenai isu tanah berkenaan.

“Kepentingan Felda dan peneroka mesti sentiasa kita jaga dalam segala usaha pembangunan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya yang dianggarkan bernilai RM270 juta di Jalan Semarak susulan laporan yang menimbulkan tanda tanya berhubung urusan pindah milik tanah berkenaan.

Selain laporan polis yang dibuat pada 12 Dis lepas, tindakan turut diambil dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah itu, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat. – Bernama, 22 Disember 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • siasatan ini perlu dilakukan dgn lebih terperinci bg memastikan siapa2 yg terlibat dlm slh guna kuasa ini dihadapkan kemuka pengadilan & mendapat hukuman yg setimpal..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan