Pembangkang gagal halang belanjawan Kementerian Pengangkutan


Chan Kok Leong Hailey Chung Wee Kye

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong enggan memberi penjelasan mengenai isu kabotaj. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2020.

DEWAN Rakyat meluluskan peruntukan belanjawan Kementerian Pengangkutan dengan undi 109 menyokong dan 94 tidak menyokong, sementara 17 ahli Parlimen tidak hadir, selepas menteri Dr Wee Ka Siong menolak untuk menangani isu kabotaj.

Pembangkang, diketuai penyandang Wee, Anthony Loke (Seremban-PH) meminta undi belah bahagi selepas Wee tidak menjawab pertanyaannya mengenai kapal membaiki kabel dasar laut.

Baru-baru ini, Wee menarik balik pengecualian kabotaj untuk kapal asing melakukan pembaikan kabel dasar laut di perairan Malaysia.

Pengecualian itu diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada April tahun lalu untuk mengurangkan kelewatan pembaikan.

Keputusan Wee memberi kesan negatif terhadap usaha Malaysia menarik pelaburan telekomunikasi dan internet, kata pihak pembangkang.

Syarikat teknologi gergasi seperti Facebook, Google, Microsoft dan Malaysia Internet Exchange juga menyuarakan kebimbangan mereka ia akan mempengaruhi kelajuan dan kualiti internet Malaysia.

Loke berkata banyak agensi dan kementerian tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Pengangkutan.

“Gombak (Mohamed Azmin Ali) yang berada dalam Dewan ini, saya rasa beliau juga tidak setuju. Indera Mahkota (Saifuddin Abdullah) juga tidak bersetuju.

“Rembau (Khairy Jamaluddin) dari Kementerian Sains dan Teknologi juga tidak setuju, tetapi mengapa Ayer Hitam (Wee) berkeras untuk mempertahankan pendirian ini.”

“Ia secara langsung merugikan negara walaupun keputusan itu seolah-olah hanya melindungi satu syarikat, bukan kepentingan negara,” kata Loke. – 7 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen