PILIHAN raya yang berjalan lancar dan aman membuktikan era baharu bakal muncul di Venezuela, kata Presiden Nicolas Maduro sambil menyeru pembangkang untuk kembali ke meja rundingan, lapor agensi berita Xinhua.
“Mulai hari ini, era baharu bakal muncul di Venezuela dan berilah peluang kepada diri kita untuk memulakan proses demokrasi yang sebenar bagi memulihkan tanah air kita yang tercinta.
“Saya menyeru semua pembangkang hentikan usaha yang ekstremis ... dengan satu suara kita menggesa kerajaan Amerika Syarikat yang baharu menarik balik semua sekatan ... kita akan kembalikan semula mekanisme dialog dan mempersiapkan agenda pilihan raya,” kata Maduro pada Ahad.
Menurut Xinhua, Parlimen negara ini diisytiharkan menghina mahkamah oleh Mahkamah Agung kira-kira lima tahun lalu, dan 277 timbalan menteri yang baharu dipilih hari ini akan mengambil alih jawatan dalam beberapa bulan akan datang.
“Pilihan raya hari ini membuktikan kepada dunia Venezuela bukan tanah jajahan sesiapa, Venezuela sebuah negara yang bebas dan berdaulat,” katanya.
Lebih 20 juta rakyat Venezuela layak mengundi pada pilihan raya itu yang menyaksikan lebih 14,400 calon daripada 107 pertubuhan politik bertanding.– Bernama, 7 Disember, 2020.
Komen