.jpg)
MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali merupakan calon terbaik yang harus ditonjolkan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi perdana menteri.
Mana tidaknya, selain mempunyai paras rupa yang kacak, Azmin juga bijak dalam mentadbir negeri Selangor selepas bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disingkirkan PKR.
Siapa menyangka dalam percaturan politik Langkah Kajang akhirnya Azmin yang menang. Inilah kehebatan politik Azmin yang digeruni kawan dan lawan.
Dalam kalangan pemimpin PH, Azmin adalah satu-satunya tokoh yang “bersih” dan tidak pernah terpalit dengan kes rasuah berbanding Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir dan Anwar juga merupakan gandingan yang dianggap sebagai “pemusnah Malaysia”.
Akan tetapi beberapa isu perlu diselesaikan Azmin sebelum berjaya naik ke tampuk kekuasaan sebagai perdana menteri Malaysia:
1. Mengalahkan BN pada PRU14. Ini tugasan terbesar perlu dilakukan Azmin sebelum diangkat sebagai perdana menteri Malaysia ke-7. Sejauh mana Azmin yakin “wajahnya” mampu menyebabkan majoriti rakyat Malaysia mengundi PH dan meninggalkan BN?
2. Mendapatkan sokongan partinya PKR. Salah satu syarat untuk menjadi PM ialah perlu mendapatkan sokongan parti sendiri. Apakah Azmin sudah mendapatkan sokongan ahli dan pemimpin PKR untuk menjadi calon PM?
3. Sokongan parti sekutu dalam PH. Apakah Azmin sudah mendapatkan sokongan DAP, Bersatu dan Amanah untuk menjadi calon PM bagi PH?
Sekiranya perkara ini sudah dicapai, maka Azmin akan berjaya menjadi perdana menteri pertama Malaysia yang bukan daripada Umno.
Sekiranya tidak, bukan juga kesalahan bagi seorang ahli politik untuk memasang angan-angan untuk menjadi perdana menteri. – 22 Disember, 2017.
* Kamarul Jaafar ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen