GST bukan fokus utama, kata timbalan menteri kewangan


Chan Kok Leong Hailey Chung Wee Kye

Kerajaan Barisan Nasional memperkenalkan GST pada kadar 6% pada 2015. Ia kemudian dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang memperkenalkan SST.– Gambar EPA, 7 Disember, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional tidak memfokuskan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) walaupun sedang mengkaji pelbagai cara untuk menjana pendapatan untuk kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah. 

“GST bukan pilihan utama kerana fokus kita adalah berkenaan bagaimana untuk mengurangkan ketirisan,” kata ahli Parlimen Paya Besar pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Shahar menjawab soalan Mohamad Sabu (Kota Raja-PH) mengenai sama ada kerajaan merancang untuk memperkenalkan semula GST bagi meningkatkan lebih banyak pendapatan kerajaan susulan semak turun penarafan oleh Fitch Ratings minggu lalu. Mohamad turut bertanya sama ada penurunan itu berpunca daripda ketidakstabilan politk dalam negara. 

Mohd Shahar menjawab bahawa krisis ekonomi semasa bukan disebabkan oleh asas ekonomi Malaysia.

“Semak turun penarafan dari A- kepada BBB+ bukan disebabkan faktor ekonomi kerana kita merupakan antara negara paling kompetitif dalam menjalankan perniagaan.”

Ahli Parlimen Umno itu berkata Malaysia berada di kedudukan ke-12 daripada 190 negara dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020

Beliau berkata kerajaan kini sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal. 

Mohd Shahar bagaimanapun tidak menjawab soalan Mohamad sama ada penurunan itu disebabkan oleh ketidakstabilan Perikatan. 

Kerajaan Barisan Nasional memperkenalkan GST pada kadar 6% pada 2015. Bagaimanapun, ia gagal diuruskan dengan baik dan berbilion ringgit perlu dikembalikan kepada syarikat. 

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan GST dan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST). – 7 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen