Ku Nan dibebas tanpa dilepas tuduhan rasuah RM1 juta 


Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2013.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2020.

TENGKU Adnan Tengku Mansor dibebas tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan rasuah melibatkan RM1 juta selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah ada alasan munasabah untuk menangguhkan sementara perbicaraan, lapor media.

Kes itu sepatutnya sambung bicara pada pagi ini tetapi Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memohon mahkamah untuk membebas tanpa melepaskan bekas menteri kabinet Najib Razak itu.

Beliau memberi alasan ada perkembangan baharu melibatkan seorang saksi yang sudah memberi keterangan. Katanya, perkembangan baharu itu perlu disiasat sebelum perbicaraan boleh disambung semula.

“Ada perkembangan baharu yang perlukan siasatan sewajarnya dan pihak pendakwaan tidak mahu membuang masa mahkamah kerana kami tidak pasti berapa lama siasatan ini akan berjalan,” kata Julia kepada hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Julia memberitahu mahkamah beliau tidak boleh mendedahkan perkembangan baharu tersebut. Namun secara ringkas beliau memaklumkan ia ada kaitan dengan beberapa laporan yang dibuat kepada agensi anti rasuah terhadap saksi berkenaan yang boleh menjejaskan kes.

“Atas alasan itu, kami memohon agar tertuduh dibebas tetapi tidak dilepaskan sementara perkara itu diselesaikan,” tambahnya.

Mohd Nazlan membenarkan permohonan itu yang beliau sifatkan sebagai munasabah.

Peguam bela kepada Tengku Adnan, Tan Hock Chuan sebelum itu memohon mahkamah agar membebas dan melepaskan anak guamnya.

Beliau memberi alasan kes itu sudah berjalan lebih dua tahun dan tidak adil sekiranya ia terus dibiarkan tanpa penyelesaian untuk suatu tempoh yang tidak pasti.

Perbicaraan kes itu yang bermula pada 20 September 2019 dengan pihak pendakwaan telah memanggil dua saksi sepatutnya bersambung hari ini untuk saksi memberi keterangan.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akauan CIMB Bank bekas menteri itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak di Kuala Lumpur diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank ke dalam akaun tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tan sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan pilihan bersubahat dengan Tengku Adnan untuk melakukan kesalahan itu. Dia dihukum denda RM1.5 juta.

Tengku Adnan juga berhadapan satu kes rasuah lain yang melibatkan RM2 juta, yang sedang dibicarakan di peringkat pembelaan di mahkamah tinggi yang lain. Kes ditetapkan untuk keputusan pada 21 Disember. – 7 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen