Permainan dan kekacauan politik Malaysia


Hailey Chung Wee Kye

PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin hanya mendapat majoriti dua kerusi di Parlimen, dan sokongan itu kelihatan sangat goyah tanpa komitmen tegas daripada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2020.

SEJAK Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Malaysia ada dua kerajaan persekutuan, dua perdana menteri, lima negeri bertukar pentadbiran dan beberapa pertukaran menteri besar dan ketua menteri.

Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin hanya mendapat majoriti dua kerusi di Parlimen, dan sokongan itu kelihatan sangat goyah tanpa komitmen tegas daripada Umno.

Minggu lalu, agensi penarafan antarabangsa Fitch memetik ketidakstabilan politik antara alasan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada “A-“ kepada “BBB+”.

Punca lain adalah impak besar pandemik Covid-19 terhadap ekonomi.

The Malaysian Insight meneliti beberapa langkah besar politik yang berlaku sehingga menyebabkan ketidakstabilan tersebut.

Yang tua disingkir, diganti dengan yang lebih tua?

Gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) melakar sejarah pada 2018, dengan memperoleh majoriti bagi mengakhiri 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ia pertandingan yang sengit. Pembangkang bagaimanapun berjaya memenangi 113 kerusi dan BN memperoleh 79 kerusi daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi.

Pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan tidak dapat bertahan lama dan kekal hanya selama 22 bulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2020.

PH memilih bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri baharu.

Namun pentadbiran Dr Mahathir tidak dapat bertahan lama dan kekal hanya selama 22 bulan.

Perubahan sokongan dan penjajaran politik menyaksikan Muhyiddin memimpin pakatan kerajaan yang baharu – melibatkan Bersatu, Umno, PAS, pakatan pemerintah Sarawak GPS, MCA, MIC dan beberapa parti lain dari Sabah.

Situasi tidak stabil PH menjadi peluang parti Muhyiddin mengorak langkah politik walaupun partinya berada dalam krisis besar yang mengakibatkan penggulingan Dr Mahathir dan penyokongnya.

Setakat ini, pakatan kerajaan adalah Perikatan Nasional (PN), yang merangkumi Muafakat Nasional (Umno dan PAS), BN (Umno, MCA dan MIC), GPS (empat parti Sarawak) dan Bersatu.

Di bahagian pembangkang, PH (PKR, DAP dan Amanah), Warisan dan Pejuang Dr Mahathir. Namun pasukan pembangkang masih tidak memiliki kata sepakat mengenai calon perdana menteri mereka.

Baru-baru ini, Anwar mengaku mempunyai sokongan angka yang kukuh untuk membentuk kerajaan, malangnya ia belum lagi berlaku.

Ini hanya di peringkat persekutuan. Kekeliruan dan pergolakan politik juga berlaku di banyak negeri, menyumbang ketidakstabilan politik di Malaysia ketika ini. – 7 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen