KEKEJAMAN terhadap haiwan, terutama anjing masih berada pada tahap serius, kata Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) yang menawarkan hadiah RM2,000 kepada pemberi maklumat mengenai seorang lelaki yang dirakam menembak anjing liar dengan senapang.
Video yang tular itu dipercayai dirakam di Malaysia menunjukkan seorang lelaki dari sudut belakang menembak anjing di sekitar rumahnya.
Presiden MAA Arie Dwi Andika berkata perbuatan itu melanggar undang-undang (Akta Kesejahteraan Haiwan 2015) yang melarang mana-mana individu menembak haiwan menggunakan senjata api kecuali jika dibenarkan oleh pihak berkuasa.
“Menembak dan membunuh anjing hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan dengan alasan kukuh seperti jangkitan rabies,” kata Arie.
“Individu tidak mempunyai hak untuk menembak sewenang-wenangnya kecuali bagi membela diri.
“Kadang-kadang, ada anjing nakal yang mengejar orang berjalan atau penunggang motor yang menghantar barang.
“Jika membunuh atau cederakan, mesti ketika dalam keadaan pertahankan diri, dan ia hanya boleh dilakukan terhadap anjing penyerang, bukan semua anjing,” katanya.
Kes menembak anjing yang berlaku baru-baru ini bukan kes pertama dan ada laporan berserta video dan gambar sebelum ini menunjukkan tindakan kejam lain terhadap anjing.
Arie berkata sebab utama kekejaman terhadap anjing adalah kerana sentimen dan kepercayaan agama.
Selain itu katanya, wujud juga kemarahan masyarakat terhadap pihak berkuasa tempatan menggunakan jerat S-loop bagi menangkap anjing liar, kaedah yang menyebabkan kesakitan fizikal dan psikologi kepada anjing.
Arie berkata malangnya, kaedah ini juga biasa di negara lain kerana setakat ini ia cara paling berkesan. Kaedah lain pula memakan masa kerana anjing adalah makhluk pintar.
Beliau mengesyorkan kerajaan beralih daripada kaedah jerat tali kepada menggunakan jaring.
“Ada beberapa kumpulan penyelamat haiwan yang menyelamatkan anjing menggunakan kaedah jaring dan ia berjaya.
“Mungkin pihak berkuasa boleh guna kaedah yang menyenangkan masyarakat dan akhirnya mencapai penyelesaian yang sama-sama puas hati.” – 7 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen