Pakatan Johor puji sikap inklusif kerajaan negeri


PH Johor dalam satu kenyataan yang ditandatangani Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Setiausaha DAP Johor Tan Hong Pin memuji kerajaan negeri kerana bersikap inklusif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2020

PAKATAN Harapan Johor memuji kerajaan negeri yang dipimpin Umno kerana bersikap inklusif dan memenuhi tuntutan pembangkang dalam belanjawan negeri itu bagi 2021.

“Pembangkang dalam sistem Westmister disifatkan sebagai ‘His Majesty’s Loyal Opposition’, dimana eksekutif dan pembangkang dianggap sebagai sebahagian daripada sistem kerajaan Duli Yang Maha Mulia.  

“Ini adalah sejarah dalam demokrasi Johor. Bahkan, Johor telah menjadi contoh terbaik bagaimana dewan yang mulia ini telah memainkan peranan berkesan dengan meletakkan kepentingan rakyat pada kedudukan paling hadapan tanpa mengira politik kepartian.” kata PH Johor dalam satu kenyataan yang ditandatangani Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Setiausaha DAP Johor Tan Hong Pin.

Tuntutan PH Johor yang dipenuhi kerajaan negeri adalah jumlah peruntukan yang sama untuk semua DUN, termasuk di kerusi pembangkang.

Perkara ini telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad sebelum sidang DUN bermula.

Dalam belanjawan negeri, Hasni mengumumkan peruntukan RM150,000 untuk semua kawasan DUN, termasuk kawasan yang dimenangi pembangkang. Dan turut mengumumkan penambahan peruntukan RM50,000 untuk setiap kerusi ketika berakhirnya perbahasan mengenai belanjawan.

PH Johor juga berkata Hasni menerima tuntutan untuk memberi ruang penyertaan Adun pembangkang dalam jawatankuasa pilihan DUN, dan dalam jawatankuasa tindakan pembangunan daerah (Jawatankuasa Tindakan dan Pembangunan Daerah).

“PH Johor percaya, saat kita berhadapan wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan penjajaran politik, Johor telah mencari hikmah mengukuhkan demokrasi menerusi perlaksanaan 3 perkara diatas demi kepentingan rakyat.

“Lebih menarik, kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang turut merupakan Adun Gambir tidak bertindak sepertimana kerajaan Johor dalam hal ehwal pengukuhan institusi demokrasi yang inklusif,” kata pembangkang negeri itu lagi.

Belanjawan negeri bernilai RM248.14 juta diluluskan dengan sebulat suara di 56 kerusi DUN. Umno dengan 14 kerusi, Bersatu (12), MIC (2), PAS (1), DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4).

Terdapat spekulasi sebelum ini bahawa Bersatu akan mengemukakan cabaran melalui usul keyakinan terhadap Hasni sebagai pembalasan selepas menggulingkan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar Perak melalui usul serupa dalam DUN Perak pada hari Jumaat.

Bersatu Johor memerlukan pertolongan pihak PH. Bagaimanapun ura-ura itu tidak berlaku.

Sebaliknya, PH Johor dan Hasni bertemu untuk membincangkan masalah peruntukan yang sama untuk semua Adun dan isu-isu lain mengenai kepentingan pengundi di kerusi yang ditawan pembangkang.

PH Johor, bagaimanapun, menyatakan tidak setuju atas kekalahan sebuah usul yang diajukan dalam perhimpunan bagi memberikan pengecualian bayaran sewa rumah kos rendah kepada mereka yang pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19. – 6 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen