KWSP yang meletihkan 


Zainal Rashid Ahmad

PARLIMEN sudah tidak dipedulikan. Malah, dianggap gelanggang sarkas. Walaupun siaran langsung perdebatan dewan rakyat disiarkan sejak lama dulu – perangai wakil rakyat tetap sama: “riuh tapi membosankan”. 

Pada sidang kali ini, rakyat hanya menikmati kegembiraan “palsu” mengenai berita Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 26 November.

Semuanya berpunca pada ungkapan mengelirukan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika ucapan penggulungan Belanjawan 2021.

Usul Belanjawan 2021 diluluskan secara undi “suara”, setelah pembangkang gagal mendapatkan 15 wakil rakyat untuk pengiraan undi belah bahagian.

Rakyat memang tidak pedulikan apa terjadi di Parlimen sejak kegalauan hidup semakin menekan akibat krisis ekonomi Covid-19.

Parlimen hanya menjadi tumpuan pada 26 November lalu kerana rakyat menantikan khabar kebenaran mengeluarkan RM10,000 Akaun 1 KWSP.

Belanjawan sentiasa komplikated. Bukan semua benda rakyat mahu ambil peduli kerana “kandungan” belanjawan selalunya sangat subjektif. Malah, walaupun dirangka awal, namun pelaksanaan dan survival Belanjawan bergantung pada situasi ekonomi.

Belanjawan 2021 ketika amukan Covid-19 sudah seperti ramalan Nostradamus. Kemustahilan yang tinggi dengan kemungkinan realiti yang tipis.

Cuma, tumpuan Belanjawan 2021 ialah berita mengenai KWSP. Rakyat “bersorak” apabila ada kefahaman 8.8 juta pencarum KWSP akan dibenarkan mengeluarkan RM10,000 Akaun 1.

Kenyataan “lidah bercabang”

Pada 2 Disember lalu, KWSP mengumumkan senarai syarat pengeluaran wang Akaun 1. Sangat mengejutkan kerana syarat-syaratnya ketat. Malah, tidak memenuhi “semangat” dalam ucapan Tengku Zafrul di Parlimen pada 26 November.

KWSP kini paling dibenci; rakyat mula letih dan menyampah dengan suasana “dingdong” antara menteri kewangan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) KWSP.

Pembentangan Menteri Kewangan di Parlimen kini jadi mengelirukan. Belanjawan 2021 walaupun belum memasuki 1 Januari 2021, mula menampakkan ciri-ciri banyak kelentong.

Walaupun pengeluaran wang KWSP tidak memerlukan kelulusan Parlimen, Tengku Zafrul dilihat sengaja menggunakan isu Akaun 1 untuk meraih pembentangan penggulungan sebagai belanjawan popular.

Tidak pedulilah apa pun kenyataan Tengku Zafrul ketika membentangkan isu KWSP pada Belanjawan 2021.

Apa yang pasti, 8.8 juta pencarum berasakan ada sinar yang cerah mengenai pengeluaran RM10,000 Akaun 1 bagi membantu rakyat mengharungi detik sukar ekonomi.

Sekarang “wajah sebenar” Tengku Zafrul mula kelihatan belangnya. KWSP menghadkan kumpulan yang layak hanya sekitar 700 ribu pencarum yang dibuang kerja, serta pekerja yang membuktikan hilang 30% pendapatan.

Bekas elit bank ini kelihatan seperti “penipu”. Tengku Zafrul dilihat tidak menentu apabila membentangkan dasar. Sangat “flip flop”.

Najib dan Zahid kembali popular

Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menghadiri sidang Parlimen ketika perbahasan belanjawan di peringkat kementerian - kini kembali agresif bersuara.

Ahli Parlimen Pekan dan Bagan Datuk sekali lagi menjadi harapan rakyat. Paling tidak suara mereka penting ketika media massa kelihatan “buta” mengenai kekecewaan 8 juta pencarum yang kecewa.

Najib dan Zahid meraih populariti di media sosial. Penyokong dan pembenci menumpang kasih apabila dua orang kuat kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tumbang pada 10 Mei 2018 kini kembali menjadi suara rakyat.

Tengku Zafrul dilihat sebagai berperanan “king maker” dalam polisi kewangan kerajaan.

Perdana Menteri Mahyuddin Yassin dilihat menyerahkan kepercayaan mutlak pada menteri kewangan.

“Dia cakap lain masa penggulungan bajet. Bunyi macam 8.8 juta pencarum layak. Sekarang dah balik asal kerana hanya yang hilang kerja layak,” kata Zahidi Ibrahim.

Selepas usul diluluskan, pencarum menanti perincian cara pengeluaran skim i-Sinar Akaun 1 KWSP.

“Kami perlukan wang walaupun kekal bekerja. Dua anak yang jadi graduan tetapi tidak dapat kerja. RM10,000 nak modalkan mereka meniaga,” kata Zahidi.

KWSP pula memiliki syak pertimbangan tersendiri. Bagi KWSP, ramai pencarum bergaji tetap tidak perlu mengeluarkan caruman Akaun 1.

Alasannya mudah - apa pun terjadi, mereka bergaji tetap.

Bagi isteri yang masih bekerja, tetapi suami yang menutup perniagaan kerana terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi Covid-19, RM10,000 Akaun 1 sangat diharapkan.

“Saya perlukan RM10,000 untuk modal suami mula berniaga,” kata MamaOdi.

Ini antara di live “posting kecewa” siaran ketika langsung di Facebook Belanjawan 2021 bagi bacaan kali pertama pada 6 November.

Ketika itu Tengku Zafrul  mengumumkan hanya 700 ribu pencarum yang kehilangam kerja layak mendapatkan i-Sinar.

Sejak itu, Najib bersuara. Isu diberikan hak mengeluarkan RM10 ribu simpanan Akaun 1 meletakkan nama Najib sebagai pembela rakyat.

Najib kelihatan menang apabila Tengku Zafrul mengumumkan pada ucapan penggulungan secara “mengelirukan” dengan membayangkan 8.8 juta pencarum layak menikmati pengeluaran Akaun 1.

Malangnya, pada 2 Disember, kenyataan media KWSP mengenai i-Sinar dipenuhi syarat-syarat yang ketat.

Hampir 8 juta pencarum tidak berada dalam senarai “hilang kerja” dan pengurangan pendapatan 30% sebulan.

Bermula lagi episod Najib dan Zahid kembali bersuara membela rakyat.

Masalahnya: Apakah Tengku Zafrul dan Mahyuddin tidak menyedari masalah ini? – 6 Disember, 2020.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen