Najis panda dijadikan tisu, syarikat China buat untung


“Panda dapat apa yang mereka nak, begitu juga kami,” kata pengkaji panda. “Ia situasi menang-menang.” – Gambar AFP, 22 Disember, 2017.

BILA ada peluang buat untung, jangan dilepaskan begitu sahaja. Termasuklah peluang menukar najis panda menjadi tisu tandas.

Itulah peluang yang diambil The Qianwei Sengseheng Paper Company di wilayah Sichuan apabila bergabung dengan China Conservation and Research Center for the Giant Panda untuk kitar semula najis binatang itu menjadi tisu tandas, napkin dan pelbagai lagi produk kegunaan rumah, lapor media tempatan pada Rabu lepas.

Ianya akan dipasarkan sebagai sebahagian daripada produk “najis panda” berserta dengan gambar dan ilustrasi binatang hitam-putih itu.

“Mereka uruskan sampah-sampah itu untuk kami,” kata pengkaji di pusat panda kepada The Chengdu Business Daily.

Kata Huang kepada agensi berita tempatan Xinhua, 10 kilogram najis yang dihasilkan panda dewasa sehari itu kaya dengan fiber, yang terhasil dari tabiat memakan buluh.

Sebagai tambahan kepada najis yang bernilai itu, panda turut menghasilkan 50 kilogram sisa makanan setiap hari yang diludah ketika menghadam buluh.

Sementara secara kasarnya, penghasilan buluh menjadi kerja melibatkan pengekstrakan fruktosa kepada fiber, langkah ini secara alaminya terjadi dek sistem pencernaan panda sendiri, kata presiden syarikat itu, Yang Chaolin kepada Xinhua.

Syarikat itu akan mengumpul najis dan sisa daripada tiga ekor panda dari Sichuan beberapa kali dalam seminggu. Selepas direbus, dipasteur dan dijadikan tisu, ia akan diuji sama ada terdapat bakteria atau tidak sebelum dijual dipasaran.

Tisu “najis panda” itu akan dijual dengan harga RM26.60 sekotak.

“Panda dapat apa yang mereka nak, begitu juga kami,” kata Yang. “Ia situasi menang-menang.” – AFP, 22 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen