MB Kedah lupa hak kebebasan beragama


MENTERI Besar Kedah harus mengulangkaji matapelajaran sejarah dan menghormati, menghayati dan mengakui pengaruh Hindu-Buddha-Islam yang berkurun lamanya di negeri Kedah dan sepatutnya menggunakan peluang ini sebagai arkitek untuk membina semula negara Malaysia dan mengeratkan perpaduan di negeri Kedah yang bersejarah ini.

Menteri Besar Kedah dari parti PAS sekali lagi membuktikan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan berdasarkan kenyataan media beliau kebelakangan ini yang menyentuh perobohan kuil di Kedah dan baru-baru ini kata-kata beliau yang jelas menghina komuniti India dengan tuduhan melulu bahawa penduduk etnik India ini adalah pemabuk.

Kenyataan yang rasis dan jahil ini tidak seharusnya keluar dari mulut mahupun terlintas dalam fikiran mana-mana pemimpin masyarakat dan negeri dan mencerminkan betapa ceteknya pemikiran mana-mana pemimpin tersebut.

Muhammad Sanusi Md Nor harus sedar bahawa, dalam sebuah Malaysia yang terbentuk dengan penglibatan dan pengorbanan semua warga yang berbilang kaum dan agama, seorang pemimpin dilihat sebagai pemangkin perpaduan dan berperanan diharap sebagai ‘jambatan’ yang merapatkan jurang diantara pelbagai komuniti, etnik dan agama. Kata-kata seorang pemimpin seperti beliau seharusnya melambangkan jawatan beliau sebagai seorang ketua sebuah negeri dan bukan sebagai batu api untuk merobohkan benteng perpaduan dan memadam suasana harmoni dikalangan rakyat Malaysia yang patriotik dan cintakan tanahair ini.

Mungkin beliau boleh menyegarkan minda beliau dengan perkongsian asal-usul negeri Kedah.

Negeri Kedah yang juga dikenal sebagai ‘Kadaram’ satu ketika dahulu juga merupakan tapak penempatan awal pengaruh Hindu hasil tinggalan Empayar Chola beribu-ribu tahun sebelum ini. Ini merupakan fakta yang tidak boleh dipadam atau diketepikan oleh mana-mana pihak dan wujud sehingga hari ini sebagai bukti wujudnya perhubungan dua hala dalam perdagangan dan politik diantara Empayar Chola dan Malaya satu ketika dahulu.

Selain daripada itu, artifak-artifak di Lembah Bujang yang dianggap ‘lombong emas’ tinggalan bersejarah merupakan diantara yang termasyur di Malaysia dan di Asia Tenggara. Tapak arkeologi yang mancatatkan sejarahnya lebih 2500 tahun lalu, subur abadi sebagai ‘taman permainan’ bagi pakar-pakar arkaeologi di Malaysia yang mendahagakan kajian dan ekspedisi untuk mempelopori hasil tinggalan sejarah ditanahair kita sendiri. Tinggalan bersejarah ini yang mendukung artifak-artifak Hindu-Buddha membuktikan dan memperkukuhkan lagi pengaruh kedua-kedua agama ini dan betapa pentingnya Kerajaan dan rakyat Malaysia melindungi dan mempertahankannya termasuklah pengaruh Islam di negeri Kedah dan seluruh Malaya selepas itu.

Tinggalan yang bersejarah ini wujud berkurun lamanya – jauh lebih lama dari kewujudan dan pembentukan kerajaan Malaya, dan kerajaan negeri Kedah. 

Mungkin Menteri Besar Kedah harus diingatkan bahawa kebebasan beragama untuk semua rakyat Malaysia nyata wujud dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Perkara 3(1) jelas menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. Perkara 8 menyentuh semangat dan prinsip kesamarataan. Perkara 8(1) menyatakan “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”. 8(2) “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang…”. Perkara 11 pula menekankan kebebasan beragama di Malaysia dimana 11(1) menyatakan “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya”.

Ternyata bagi mana-mana penganut mana-mana agama, rumah ibadat mereka adalah tempat mereka menunaikan keperluan ibadat dan agama mereka, dengan cara yang aman dan harmoni. 

Tindakan serta justifikasi Menteri Besar Kedah untuk merobohkan rumah-rumah ibadat serta binaan-binaan atau infrastruktur tanpa satu jalan penyelesaian yang diterima oleh semua pihak mencerminkan kecuaian  beliau dalam memperhalusi erti kedaulatan undang-undang dan semangat harmoni dan patriotisme seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Jika Menteri Besar Kedah kebuntuan idea, tidak jauh dari pandangan beliau, wujudnya sebuah negeri kecil yang tabah dan teguh yang mempertahankan hak dan kebebasan beragama berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Supaya warga Pulau Pinang dapat mengeratkan perhubungan silaturahim dan semangat keharmonian diantara semua kaum dan agama, Pusat Harmoni telah dibina pada tahun 2019 dibawah Exco Pembangunan Sosial dan Hal-Ehwal Bukan Islam Chong Eng dibawah naungan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Chow Kon Yeow, merangkap Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang.

Mungkin Menteri Besar boleh mendapat ilham dari corak pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menjaga semua warganya tanpa mengira warna kulit, etnik, agama, gender, umur dan keupayaan masing-masing.

Muhammad Sanusi Md Nor wajib ditegur oleh pimpinan parti PAS dan harus diingatkan dan diingatkan lagi bahawa generasi moyang beliau, bersama generasi moyang kami semua bertungkus lumus, mencurah bakti untuk menjadikan tanah ini, Malaysia ini milik kita semua.

Ini tanahair kita. Ini Malaysia kita. Dan kita harus berganding bahu untuk menolak segala jenis unsur rasis, ekstremis dan kebencian dari negara kita ini. 

* Kasthuri Patto ialah Ahli Parlimen Batu Kawan dan juga Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen