MALAYSIA tidak ada Parlimen kanak-kanak atau mekanisme seumpama itu yang membolehkan mereka turut serta dalam pembuatan dasar, kata Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM) dalam satu laporan terbaru.
“Wujudkan satu Parlimen kanak-kanak sama seperti Parlimen belia untuk menginstitusikan penyertaan mereka dalam pembuatan dasar dan masukkan kanak-kanak bawah 18 tahun daripada masyarakat terpinggir, termasuk pelarian, suaka politik dan kanak-kanak tanpa warganegara,” kata CRCM.
Parlimen belia yang ada pada masa ini membenarkan penyertaan beliau berusia 18 hingga 30 tahun, dan menerima wakil dari seluruh negara.
Penulis bersama laporan CRCM, Azira Aziz memberitahu The Malaysian Insight Parlimen kanak-kanak juga langkah yang baik kerana ia membenarkan hubungan langsung antara kanak-kanak dan pembuat dasar untuk memberi pandangan tentang isu yang memberi kesan kepada mereka.
“Dengan revolusi perindustrian keempat, saya fikir kita perlu beri pujian kepada kanak-kanak atas kepintaran dan kemampuan mereka untuk membela diri sendiri dan diberi akses kepada alat dan latihan yang betul.
“Kanak-kanak Malaysia hari ini bersedia bercakap tentang isu yang ada kaitan dengan mereka, dan dengan bimbingan sempurna, mereka lebih daripada mampu untuk bela diri sendiri,” katanya yang juga seorang peguam.
Azira berkata Parlimen Digital yang dianjurkan baru-baru ini dengan Undi18 dan Challenger, satu simulasi Parlimen menggunakan sidang video, menyaksikan peserta termuda berusia 15 tahun, menyuarakan pandangannya dengan baik.
Selain cadangan Parlimen kanak-kanak, CRCM turut menggesa kerajaan menyediakan mekanisme lain untuk mendengar suara kanak-kanak.
“Kerajaan boleh melakukan kaji selidik atau mendapatkan maklum balas untuk kanak-kanak kepada kerajaan, bagi membolehkan pasukan penyelidik menapis dan menganalisis secara kerap sebelum sesuatu dasar diperkenalkan atau dilaksanakan,” katanya.
Antara perubahan yang dialu-alukan oleh CRCM ialah pelantikan pesuruhjaya kanak-kanak tahun lalu.
Jabatan Perdana Menteri melantik profesor undang-undang Noor Aziah Mohd Awal untuk jawatan itu bagi tempoh 2019-2022.
Sejak itu, CRCM berkata pesuruhjaya kanak-kanak dapat membawa sebanyak mungkin isu hak kanak-kanak. Namun, sekatannya ialah birokrasi.
“Masalah itu perlu koordinasi daripada beberapa pihak berkepentingan dan pemegang kuasa, yang perlukan diplomasi dan mengambil masa lama.
“Contohnya isu kewarganegaraan untuk kanak-kanak yang tidak diketahui ibu bapanya, atau ibu rakyat Malaysia sementara ayah bukan warganegara.
“Ia bukan saja di bawah jabatan kebajikan, ia juga isu imigresen, jabatan pendafaran, Kementerian Dalam Negeri dan dalam sesetengah kes, ia membaitkan jabatan syariah negeri.”
Azira menggesa Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat untuk menyokong inisiatif mereka.
“Pada 2019, harapan saya tinggi untuk masa depan kerana kita ada menteri yang sangat memberi sokongan, aktif mendapatkan data dari akar umbi, pendapat, maklum balas dan pesuruhjaya kanak-kanak yang kita ada.
“Kami juga ada rancangan untuk tamatkan perkahwinan kanak-kanak di bawah kementerian. Hari ini, saya tidak pasti sama ada ia dilaksanakan atau tidak, walaupun kementerian buat kenyataan tidak akan membatalkan rancangan itu.” – 6 Disember, 2020.
Komen