PAS akan lakukan apa sahaja untuk berkuasa, kata penganalisis


Kamles Kumar

Penganalisis berkata PAS akan bersekutu dengan sesiapa sahaja untuk memastikan parti itu tetap relevan dalam politik Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

PAS adalah parti yang pragmatik yang akan bersekutu dengan sesiapa sahaja dan bersetuju dengan apa sahaja untuk memastikan mereka tetap relevan dalam bidang politik Malaysia, kata penganalisis.

Mereka percaya parti Islam itu akan melakukan apa sahaja untuk keperluan mereka bagi memastikan survival sama ada sebagai sebahagian daripada kerajaan atau pembangkang berdasarkan kenyataan pemimpin dalam beberapa bulan lalu.

PAS juga telah membuktikan mereka tidak ada kesetiaan kerana sebelum ini pernah menjadi sekutu DAP dalam Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu dan kini bekerjasama dengan Umno, parti yang pernah menjadi musuhnya, kata penganalisis.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun percaya PAS sedang bersedia untuk kemuncak politik Malaysia yang mungkin akan menjadi situasi lebih konservatif dengan membuat kenyataan atau melakukan tindakan yang akan dianggap lebih Islamik.

“PAS kini menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan dan secara perlahan-lahan melancarkan agenda Islamisasi sosio-politiknya. Gabungan itu akan runtuh serta merta dan pada pilihan raya akan datang, tanpa sokongan PAS.

“Oleh itu PAS sangat diperlukan dalam hal itu dan ia juga perlu menunjukkan prestasi dari semasa ke semasa bagi memastikan asas sokongan ultra-konservatifnya tetap setia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah Oh, ia adalah satu muslihat bagi parti untuk radikalisasi rakyat Malaysia dan menjadi lebih menarik bagi orang muda Malaysia berbanding dengan Umno dan Bersatu.

“Dalam pengertian itu, PAS sudah cukup dimodenkan dan mungkin merupakan kumpulan politik paling relevan di sebelah Umno dalam iklim politik Malaysia yang semakin hebat.

“Ketika PAS memaparkan imej yang lebih ekstremis dan radikal, ia sebenarnya akan menarik lebih banyak penyokong muda,” katanya.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS menimbulkan kontroversi minggu ini selepas kerajaan di bawah pentadbirannya merobohkan lima kuil Hindu sejak beliau mengambil alih Mei lalu.

Ini mencetuskan kemarahan beberapa rakan dalam Perikatan Nasional termasuk Menteri Sumber Manusia M Saravanan dari MIC yang membidas Sanusi kerana didakwa berbohong mengenai kuil berkenaan.

Sejak menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, para pemimpin PAS juga bertindak membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti ketika Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh membuat kenyataan tentang Perjanjian Lama melarang pengambilan alkohol.

“Kami umat Islam turut beriman dengan Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa. Ini adalah akidah kami yang perlu dipertahankan supaya ia tidak dipesong atau dipinda.

“Saya mempertahankan keaslian kitab yang ada supaya tiada mana-mana kitab lain dengan perubahan,” katanya di Dewan Rakyat.

Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata walaupun PAS sebuah parti Islam, namun ia sebenarnya tidak memperjuangkan agama sebaliknya menggunakan agama untuk kelangsungan politik.

“PAS menggunakan nama Islam tetapi ia bukanlah parti Islam yang sebenar-benarnya. PAS lebih kepada parti politik, menggunakan isu atas nama Islam untuk memastikan kelangsungan mereka,” katanya.

Selain itu, pendirian PAS juga sering berubah-ubah atas apa sahaja isu, tambah Awang Azman.

Pada 2017 misalnya, PAS mendesak agar Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 (Akta 355) dipinda, tetapi mengunci mulut apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Awang Azman berkata tindakan PAS itu untuk memastikan mereka mempunyai kedudukan dalam kerajaan Perikatan Nasional dahulu sebelum meneruskan agenda mereka itu.

“Tindakan PAS boleh dibaca, mereka akan bertindak atas isu yang menguntungkan mereka. Sebelum ini PAS bekerjasama dengan DAP dan (Presiden PKR) Anwar Ibrahim, sekarang bersama Umno dan Bersatu pula.

“PAS tiada arah tujuan, mereka mengamalkan politik pragmatik yang boleh disamakan dengan politik demi kepentingan diri,” jelasnya. – 4 Disember, 2020.

Berita penuh di sini. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen