Seorang lagi pegawai imigresen dicekup SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sumber SPRM mengesahkan seorang pegawai imigresen ditahan petang semalam ketika sedang menerima rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2020.

SEORANG lagi pegawai imigresen ditahan bersama seorang individu disyaki ejen mengutip rasuah bagi membebaskan warga China yang melakukan kesalahan imigresen.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pegawai gred KP19 berusia 26 tahun itu ditahan jam 7.45 petang semalam ketika sedang menerima rasuah.

Beliau ditahan semalam berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas lelaki disyaki ejen berusia 40 tahun ditahan di Cheras, kata sumber.

“Suspek bertugas di bahagian operasi KLIA ditahan SPRM Selangor kerana meminta rasuah sebanyak RM22,000 bagi melepaskan dua warga negara China yang ditahan agensi itu pada 30 November lalu atas kesalahan menggunakan cop palsu.

“Modus operandi mereka ialah pegawai imigresen akan memberikan ejen butiran mengenai warga China yang ditahan atas kesalahan imigresen di KLIA.

“Tugas ejen ialah menghubungi keluarga mereka di China untuk meminta wang rasuah bagi dilepaskan dari tahanan imigresen,” katanya.

Sumber berkata, ahli keluarga di China akan menghubungi rakan-rakan di Malaysia untuk membantu menyediakan wang dan menyerahkan wang kepada ejen terbabit.

Penahanan pegawai dan ejen tersebut melibatkan operasi berbeza dengan Ops Selat yang kini berjaya menahan hampir 50 suspek, termasuk 27 pegawai imigresen, kata sumber.

“Suspek bergerak secara bersendirian dan telah biasa melakukan perbuatan ini,” kata sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 atas kesalahan meminta rasuah. Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Shah Alam pagi ini,” katanya. β€“ 3 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen