HUJAN lebat sejak 25 November lalu mengakibatkan banjir di kebanyakan wilayah di selatan Thailand sekali gus menjejaskan kira-kira 33,500 keluarga.
Wilayah Patthalung dan Songkhla paling teruk terjejas menyaksikan enam sekolah serta semua taman asuhan kanak-kanak di Songkhla terpaksa ditutup untuk memastikan keselamatan pelajar dan kanak-kanak.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, Boontham Lertsukhikasem, berkata setakat hari ini, banjir masih melanda Phatthalung dan Songkhla serta Narathiwat, Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani.
“Sebanyak 24,748 keluarga terjejas di Phatthalung. Namun, keadaan bertambah baik apabila paras air di daerah yang dilanda banjir semakin surut.
“Di Narathiwat, sebanyak 6,078 keluarga terjejas. Meskipun keadaan bertambah baik, tiga daerah di wilayah itu masih dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di Songkhla, sejumlah 2,357 keluarga terjejas manakala di Nakhon Si Thammarat (250 keluarga) dan Surat Thani (60 keluarga).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat dijangka mula melanda Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Krabi, Trang, dan provinsi Satun, bermula hari ini hingga esok.
Hujan lebat sekali-sekala diramal melanda Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Krabi, Trang dan Satun pada Khamis.
“Monsun timur laut yang kuat berlaku di Teluk Thailand dan di selatan, sementara keadaan tekanan rendah di Laut China Selatan akan mula bergerak ke pantai Malaysia.
“Hujan lebat kemungkinan akan berlaku di selatan. Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan banjir kilat,” katanya. – Bernama, 1 Disember, 2020.
Komen