Desakan iktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Palestin


PERKEMBANGAN terkini menyangkut perjuangan hak rakyat Palestin amat memprihatinkan. Saya sendiri cukup terkesan dengan situasi yang semakin meruncing di negara tersebut, pada saat negara Islam kian bergolak dengan krisis diplomatik dan isu dalaman.

Berita tentang keputusan angkuh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menyerahkan kota suci Baitulmuqaddis kepada rejim Israel, wajar dibantah umat Islam dan rakyat yang cinta keadilan.

Masyarakat juga harus mengecam tindakan terbaru Trump, yang sewenang-wenangnya menggunakan kuasa veto bagi menghalang keputusan Majlis Keselamatan PBB berhubung penarikan semula pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel yang baru.

Dengan itu, saya menggesa kerajaan Malaysia membantah keputusan Amerika sekeras-kerasnya, dan mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin.

Perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan mempertahan hak rakyat, yang diusir dari tanah air mereka sendiri oleh rejim Israel.

Inilah yang diungkap sarjana Edward Said sebagai “politics of dispossession” – tindakan rakus merampas hak rakyat, sekali gus menutup ruang bagi mereka bersuara serta mempertahan hak.

Betapa culas dan lekanya kita, jika keadaan di Palestin ini dibiarkan berlanjutan tanpa ada sebarang solusi atau kata sepakat yang dapat dicapai melalui agensi-agensi antarabangsa.

Penindasan ke atas kedaulatan dan hak asasi di Palestin harus segera dihentikan demi kesejahteraan sejagat. Malaysia perlu mendukung usaha tersebut secara konsisten dan berterusan – bukan sekadar melalui kenyataan bermusim yang timbul apabila adanya perkembangan negatif semata-mata. – 21 Disember, 2017.

* Anwar Ibrahim ialah ketua umum PKR.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen