Bentang RUU pekerja sosial sebelum musim pasca-Covid-19


Hailey Chung Wee Kye

Pekerja sosial dijangka berdepan kes lebih mencabar kerana pandemik Covid-19 adalah situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

PANDEMIK Covid-19 menjadi masa terbaik perumusan undang-undang baharu untuk mendaftar dan menyelaraskan amalan pekerja sosial, kata Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW).

Kumpulan itu berkata undang-undang seperti itu – yang dinamakan RUU Profesion Pekerja Sosial – tepat pada masanya kerana pekerja sosial dijangka berdepan kes lebih mencabar kerana situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini.

RUU itu sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada Disember lalu tetapi ditangguhkan.

“Pandemik Covid-19 yang tidak dijangka pasti akan menimbulkan kebimbangan pasca-sosial seperti pengangguran, keciciran di kalangan kanak-kanak, kesihatan mental dan keganasan rumah tangga,” kata Setiausaha Kehormat MASW Tina Yap Li Yan.

“Ketika pekerja sosial diselaras, ada peluang besar untuk pengurusan perkhidmatan yang efektif kepada mereka terjejas dan kualiti perkhidmatan dalam amalannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

RUU itu juga akan menjelaskan salah faham bahawa pekerja sosial sama seperti sukarelawan, dan memberi penanda aras untuk memastikan amalan yang kompeten, tambahnya.

“Pekerja sosial mesti tahu bagaimana memudahkan dan menyokong perubahan, untuk membina daya tahan dan fungsi sosial individu atau masyarakat secara keseluruhannya.

“Bagaimanapun, sukarelawan tidak terikat dengan etika, nilai dan prinsip profesion pekerja sosial.

Beliau menambah, sumber Talian Kasih dilaporkan berkata aduan dan pertanyaan yang diterima dari Januari hingga 22 November tahun ini mendapati 1.887 kes melibatkan kanak-kanak, sementara 2,319 adalah kejadian keganasan rumah tangga.

Kes lain termasuk kehilangan tempat tinggal (473), bantuan kebajikan (71,185), kaunseling (4,305), orang kurang upaya (672) dan warga tua (368).

Yap berkata beban tugas pegawai kebajikan sosial ketika ini menjadi lebih mencabar kerana mereka mempunyai tanggungjawab tambahan semasa Covid-19 termasuk pengagihan makanan.

MASW dibawa berunding dan bekerjasama dalam menyusun RUU tersebut dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

RUU itu mendapat sokongan bipartisan tahun lalu di Parlimen tetapi tidak dibentangkan pada Disember 2019 seperti yang dijadualkan pada awalnya.

Pada Jun tahun ini, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat yang baharu, Rina Mohd Harun daripada Perikatan Nasional berkata RUU itu dijangka dibentangkan akhir tahun ini.

Beliau berkata penambahbaikan sudah dibuat pada RUU dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti.

Berdasarkan kajian terbaru oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) pada Jun 2019, nisbah di Malaysia adalah seorang pekerja sosial bagi setiap 8,576 rakyat.

Lebih rendah berbanding negara seperti Amerika Syarikat (1 bagi setiap 490), Australia (1 untuk setiap 1,040), dan Singapura (1 bagi setiap 3,448).

Gabungan Hak Kanak-kanak Malaysia (CRCM), dalam laporan status hak asasi kanak-kanak yang dikeluarkan baru-baru ini, mengesyorkan kerajaan meningkatkan jumlah pekerja sosial.

Sehubungan itu, Yap berkata RUU itu akan menghasilkan lebih banyak permintaan kerjaya bagi pekerja sosial selepas ada pengiktirafan terhadap profesion tersebut. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen