KERAJAAN negeri Sarawak meluluskan pelaksanaan manual Sarawak Urban Storm Water Management (Sustom) untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasan pembangunan baharu.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg pada satu sidang media yang diadakan selepas taklimat banjir berkata, pendekatan pelupusan pesat air buangan tidak lagi efektif dan efisyen untuk menampung kadar semasa pembangunan bandar.
Sustom menggunakan proses penahanan/pengekalan, penapisan dan proses penulenan.
Ketua menteri menjelaskan kuantiti dan kualiti air ribut dari kawasan-kawasan pembangunan dapat dikekalkan untuk menjadi kurang atau sama dengan kondisi pra-pembangunan.
“Di bawah Sustom, pengurusan air ribut akan mempunyai beberapa objektif hijau dan bebas bahaya di kawasan dalam dan hiliran, termasuk untuk mengawal banjir kilat,” katanya.
Beliau turut menolak kritikan ahli Parlimen PKR berhubung tebatan banjir dan mengatakan proses pembinaan itu memakan masa dan bukan kerana pelaksanaan yang tidak memuaskan.
Katanya, 97 projek dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir, 63 daripadanya akan siap menjelang hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Ketua menteri itu mengulas kritikan naib presiden PKR See Chee How semalam meminta beliau untuk mengarahkan Jawatankuasa Kabinet untuk Transformasi Luar Bandar “untuk menjelaskan prestasi yang tidak memuaskan dalam melaksanakan inisiatif RM43.3 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk melaksanakan 97 projek tebatan banjir kilat “.
See yang juga Adun Batu Lintang mendakwa sehingga bulan lalu, hanya sembilan projek disiapkan, dengan 49 masih berada dalam pelbagai peringkat kerja fizikal manakala 39 lagi masih diperingkat tender.
“Setakat 20 Disember, daripada 97 projek, 13 sudah siap, 71 masih di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan, lapan di bawah penilaian tender dan lima masih di bawah beberapa fasa pelaksanaan,” kata ketua menteri.
Katanya pelaksanaan projek berkenaan memakan masa keran aia hanya dilaksanakan selepas banjir melanda Kuching dan beberapa bandar di Sarawak pada awal tahun ini.
Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM100 juta untuk projek tebatan banjir.
Fokus projek tebatan banjir adalah di Hospital Umum Sarawak, kawasan Batu Lintang, Sg Tabuan, Taman Unigarden, SK Muara Tuang, Jalan Laksamana Cheng Ho, kawasan bekas kuarters persekutuan di Batu Lintang dan Jalan Ong Tiang Swee, pengorekan Sungai Tabuan dan Taman Malihah. – 21 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nazirul Fariq nazirulfariq · Ulasan