Tidak pernah ada jaminan kerajaan untuk projek LRT Pulau Pinang, kata Zafrul


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata isu tidak timbul isu 'tarik balik' jaminan kerana sejak awal tiada persetujuan yang diberikan. – Gambar Facebook, 30 November, 2020.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak menarik semula jaminan kerajaan bernilai AS$500 juta untuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, kata Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata isu “tarik balik” jaminan tidak timbul kerana tiada persetujuan yang diberikan sejak awal.

Menjelaskan perkara tersebut, menteri kewangan memberitahu Dewan Rakyat yang kerajaan menerima surat daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) yang mencadangkan tiga pilihan pembiayaan pada 25 Januari 2019.

Menurut Tengku Zafrul, yang pertama adalah melalui pinjaman langsung kepada Pulau Pinang, dijamin oleh kerajaan pusat, pinjaman langsung kepada Malaysia dengan pemberian pinjaman semula kepada Pulau Pinang, atau pinjaman langsung bagi syarikat tujuan khas dengan jaminan daripada kerajaan pusat.

“Perbincangan lanjut diadakan antara ADB, kerajaan pusat dan Pulau Pinang pada 17 Julai 2019 dan diputuskan ADB harus melakukan usaha sewajarnya.

“Pada 18 Julai 2019, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng (Bagan-PH) mengeluarkan surat mengatakan kerajaan tidak menolak terhadap tindakan sewajarnya.

“Surat ini tidak mewajibkan kerajaan persekutuan apa-apa.

“Namun pada 19 Julai 2019, Kabinet memutuskan Pulau Pinang tidak boleh meminjam wang yang melibatkan jaminan kerajaan persekutuan tanpa persetujuan daripada Putrajaya untuk mengelakkan membebankan kerajaan persekutuan.

“Oleh itu, kerajaan tidak menerima tindakan sewajarnya daripada ADB dan isu jaminan untuk ADB tidak timbul kerana perkara tersebut tidak pernah dipersetujui oleh Kabinet,” kata

Tengku Zafrul ketika berucap di Dewan Rakyat semasa peringkat jawatankuasa bagi belanjawan Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kewangan memutuskan tidak meneruskan jaminan kerana ini melibatkan masalah pembiayaan dan bukan pembatalan projek.

“Semua projek pembangunan harus diserahkan kepada EPU untuk dipertimbangkan,” kata Tengku Zafrul.

Minggu lalu dilaporkan Putrajaya memutuskan untuk tidak memberikan jaminan kerajaan terhadap permohonan pinjaman AS$500 juta (RM2.04 bilion) oleh Pulau Pinang bagi membiayai sebahagiannya projek LRT bernilai RM9.5 bilion.

Tengku Zafrul memberitahu Parlimen dalam jawapan bertulis yang mengatakan keputusan itu sesuai dengan semakan semula unjuran hasil dan pendapatan negara, serta fokus kerajaan untuk memulihkan ekonomi, berikutan pandemik Covid-19.

Sekiranya pinjaman diteruskan, Tengku Zafrul berkata ia akan meningkatkan komitmen kerajaan persekutuan terhadap perbelanjaan operasi dan pembangunan, serta projek luar belanjawan lain yang ditanggung oleh kerajaan seperti MRT Jalur 1 dan 2 (RM71 bilion), LRT3 (RM17 .7 bilion), Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (RM13 bilion) dan Pautan Rel Pantai Timur atau ECRL (RM48.85 bilion). – 30 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen