Mahkamah India bebaskan tertuduh kes skandal telekom berbilion dolar


SEBUAH mahkamah khas di India pada Khamis membebaskan semua tertuduh, termasuk bekas menteri telekom A Raja, daripada pertuduhan terbabit dalam penipuan telekomunikasi membabitkan nilai berbilion dolar, yang dikatakan skandal rasuah terbesar di negara itu setakat ini. 

Hakim Khas OP Saini, yang membebaskan Raja dan 19 tertuduh lain, termasuk tiga syarikat, berkata pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap mereka, lapor agensi berita China Xinhua.

Skandal itu berkaitan penjualan salah jalur lebar kepada syarikat telekom pada 2008 oleh Raja, yang merupakan menteri telekom dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Manmohan Singh, sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak AS$40 bilion kepada perbendaharaan negara.

Skandal itu hanya timbul pada 2010 apabila ketua audit negara India mendedahkan kerugian akibat penjualan itu oleh Raja kepada beberapa syarikat telekomunikasi atas dasar “siapa cepat, dia dapat” dan bukan melalui bidaan.

Raja menafikan sebarang salah laku. Tertuduh lain yang dibebaskan termasuk rakan satu parti Raja iaitu K Kanimozhi dan eksekutif utama beberapa syarikat telekomunikasi swasta.

Pada Februari 2012, Mahkamah Agung India membatalkan sejumlah 122 lesen telekomunikasi yang diberikan kepada beberapa syarikat pada 2008.

“Lesen selepas Januari 2008 dibatalkan. Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Telekom India akan membuat peruntukan baharu menerusi bidaan,” kata mahkamah.

India merupakan antara pasaran paling pesat berkembang bagi telefon bimbit dengan lebih 900 juta sambungan. – Bernama, 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen