.jpg)
SAYA bersetuju dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bahawa cukai durian runtuh akan lebih mendatangkan kerugian daripada kebaikan kepada pelabur, pasaran dan ekonomi.
Namun, beliau salah mengatakan bahawa tiada satu negara di rantau ini yang mempunyai cukai durian runtuh, kerana negara kita, Malaysia mempunyai cukai durian runtuh ke atas minyak sawit.
Walaupun saya mempunyai pandangan yang sama dengan menteri kewangan dalam isu cukai durian runtuh, saya harus bertanya adakah dia akan memperluaskan dasar ini dan menghapuskan cukai durian runtuh bagi sektor minyak sawit?
Walaupun harga minyak sawit pada masa ini adalah baik, sektor kelapa sawit sedang menghadapi masalah pengeluaran kerana kekurangan tenaga kerja asing yang disebabkan oleh Covid-19.
Saya mendesak menteri kewangan untuk mengamalkan dasar adil dan saksama kepada semua syarikat yang beroperasi di Malaysia, agar Malaysia ada sistem pelaburan dan cukai yang konsisten.
Mengenai apa-apa cara untuk mendapat cukai lebihan dari keuntungan luar biasa syarikat, kita hanya mempunyai penyelesaian yang terhad, dan penyelesaian tersebut bukan terletak pada pengenalan satu cukai yang baharu.
Sekiranya cukai baru tiba-tiba diperkenalkan, ia akan menakutkan pelabur, memberi kesan negatif terhadap harga saham syarikat yang terjejas, dan secara keseluruhannya mengikis keyakinan pelabur di Malaysia.
Untuk pasaran beroperasi pada tahap maksima, kita memerlukan peraturan yang konsisten dan masa notis yang munasabah sekiranya terdapat apa-apa perubahan dasar cukai.
Penyelesaian yang terhad yang saya sebutkan, untuk cuba memperoleh sedikit sebanyak cukai lebihan ialah untuk menyesuaikan semula sistem cukai korporat dua peringkat.
Namun, sebelum kerajaan berusaha mengubah apa-apa sistem cukai korporat, kerajaan harus memberi notis awal dua tahun kepada syarikat mengenai apa-apa perubahan tersebut. – 30 November, 2020.
* Wong Chen ialah ahli Parlimen Subang.
Komen