.jpg)
SAYA agak terkejut dan sejujurnya berasa lucu dengan kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali dalam usahanya memburukkan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Menurut Azmin dalam kenyataannya semalam, beliau meminta ketua pembangkang menghentikan permainan politik kerana rakyat sudah muak dengan situasi politik yang tidak menentu sekarang.
Namun begitu, tidakkah kerajaan PN sepatutnya gembira barisan pemimpin pembangkang bersetuju untuk meluluskan dasar belanjawan peringkat pertama seperti yang dititahkan oleh Yang di Pertuan Agong (YDPA)?
Kenyataan daripada Istana Negara juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen yang meluluskan dasar belanjawan tersebut. Jadi apa yang derhaka di mata Azmin?
Jangan jadikan Istana sebagai perisai untuk menghalalkan cara politik keji beliau. Azmin sepatutnya bersyukur kerana pihak pembangkang memberi laluan mudah kepada pihak kerajaan meluluskan belanjawan seperti yang dititahkan YDPA.
Bacaan peringkat kedua dan ketiga adalah isu teknikal yang perlu dijawab berdasarkan data dan statistik. Agak lucu apabila Azmin cuba membandingkan Anwar sebagai mantan menteri kewangan, kononnya Anwar tidak pernah berkongsi maklumat dengan pihak pembangkang ketika beliau menjadi menteri kewangan.
Nasihat saya kepada Azmin, selain belajar Matematik mungkin beliau perlu belajar Sejarah. Perlu diingat dalam sejarah Malaysia pembangkang hanya mula kuat selepas ledakan Reformasi pada tahun 1998.
Seingat saya berdasarkan hansard Parlimen, belum ada mana-mana pihak pembangkang mempertikaikan isu belanjawan seperti apa yang terjadi sekarang.
Jadi tidak perlulah Azmin membuat perbandingan berat sebelah dengan membandingkan Anwar dan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana situasi politik dahulu dan kini juga berubah.
Saya ambil contoh mudah, jika dulu untuk seseorang menjadi perdana menteri perlu mempunyai kerusi majoriti Parlimen.
Namun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, perdana menteri datangnya daripada kerusi parti minoriti. Tidakkah situasi ini sudah berbeza setelah 22 tahun berlalu?
Azmin juga dalam kenyataannya menyatakan Dr Mahathir Mohamad adalah arkitek kepada pembentukan PN. Saya tidak tahu apa motif kenyataan Azmin.
Adakah beliau sengaja ingin mengeruhkan keadaan di antara barisan pembangkang yang lain? Cuma, yang pasti rakyat menilai setiap gerak geri ahli politik Malaysia.
Mungkin ada sedikit benar kenyataannya, namun saya percaya tujuan Azmin mengeluarkan kenyataan sedemikian hanya ingin mengeruhkan hubungan antara Anwar dan Dr Mahathir serta cubaan memecahbelahkan barisan pembangkang.
Mungkin Azmin perlu kurangkan kenyataan provokasi dan fokus pada bantuan untuk rakyat sahaja.
Bukankah beliau baru sahaja menyebut rakyat sudah muak dengan permainan politik? Takkan Azmin mudah lupa dengan apa yang disebut? – 30 November, 2020.
* Yuslaini Azmi, setiausaha Unit Pendidikan Pemuda PKR .
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen