Kesatuan gesa bayaran khas pekerja bank


Bank masih mencatat keuntungan di tengah pandemik Covid-19 walaupun moratorium enam bulan dikuatkuasakan, kata Setiausaha Agung Nube J Solomon.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

KAKITANGAN bank berhak menerima bayaran khas kerana mereka juga menjalankan tugas penting seperti petugas barisan hadapan semasa pandemik Covid-19, kata kesatuan.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) berkata sebahagian pekerja dijangkiti semasa bertugas, manakala ramai lagi yang terpaksa menjalani ujian saringan.

“Bank sekurang-kurangnya perlu memberi bayaran one-off kepada pekerja mereka, yang kebanyakannya dari golongan B40 dan M40,” kata Setiausaha Agung Nube J Solomon dalam satu kenyataan hari ini.

Ini memandangkan bank masih mencatatkan keuntungan di tengah pandemik Covid-19, katanya.

“Maybank misalnya mencatat keuntungan RM942 juta pada suku kedua 2020 (April-Jun), CIMB untung RM277 juta bagi tempoh sama, RHB pula RM400 juta dan keuntungan Public Bank RM1 bilion.

“Perlu diberi perhatian bahawa keuntungan ini diperolehi semasa moratorium enam bulan bagi individu dan perniagaan berkuatkuasa,” katanya.

Menurut Solomon, pekerja bank masih tetap bertugas sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, dan kerajaan serta pihak bank perlu memberi penghargaan kepada mereka.

Penghargaan berbentuk bayaran khas ini katanya secara langsung akan menunjukkan bahawa mereka dihargai oleh kerajaan dan majikan.

Nube berpandangan bahawa bank tidak boleh memperkecilkan peranan kakitangan yang masih bekerja ketika negara melaksanakan sekatan pergerakan, katanya. – 30 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen