Muhyiddin kukuh selepas undian Belanjawan 2021, kata penganalisis


Kamles Kumar

Penganalisis politik berkata Muhyiddin Yassin berjaya melepasi halangan tanpa sedikit pun tercalar apabila Belanjawan 2021 lulus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengukuhkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) apabila Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar di tengah suara bantahan banyak pihak, kata penganalisis.

Apabila pembangkang Pakatan Harapan (PH) tidak menggesa undian belah bahagi, ia secara tidak langsung memperakui belanjawan itu serta dilihat memberi kepercayaan kepada kerajaan yang ada, kata mereka.

Langkah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membiarkan belanjawan diluluskan pada minggu lalu memberi dua petunjuk, kata mereka, iaitu beliau tiada sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan atau ada strategi lain yang sedang diatur.

Penganalisis politik James Chin berkata Muhyiddin berjaya melepasi halangan tanpa sedikit pun tercalar apabila belanjawan lulus.

“Hakikatnya proses belanjawan ini boleh dikatakan sudah selesai dan Muhyiddin semakin kukuh dari segi politik,” kata profesor kajian Asia di Universiti Tasmania, kepada The Malaysian Insight.

PN sebelum ini tertekan apabila sekutunya Umno menentang belanjawan setelah pembentangannya tidak melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank secara automatik sehingga tahun depan dan tidak pula membenarkan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua pencarum.

Bagaimanapun semasa penggulungan perbahasan, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan beberapa pindaan kepada cadangan belanjawan, selain mengumumkan dua perkara yang dituntut oleh Umno.

Chin berkata apabila itu berlaku, Anwar mahu menjaga namanya dan tidak mahu menjejaskan gabungan pembangkang dengan mendesak undi belah bahagi.

“Anwar tak mahu malu. Kalau buat undi belah bahagi, sokongan sebenar yang ada padanya akan terbongkar.

“Pembangkang sebelum itu menganggap belanjawan sebagai ganti undi tidak percaya. Oleh sebab mereka sendiri pun tidak pasti jumlah sokongan yang ada, mereka tidak desak sampai ke undi belah bahagi.

“Boleh tak bayangkan bagaimana kecohnya kalau mereka desak undi belah bahagi dan selepas itu mereka dapati tidak cukup sokongan.

Langkah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membiarkan Belanjawan 2021 lulus pada minggu lalu memberi dua petunjuk, iaitu beliau tiada sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan atau ada strategi lain yang sedang diatur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

“Malu besar Anwar. Orang tidak akan ambil serius dia lagi selepas ini, walaupun sekarang mereka tidak ambil serius juga,” katanya.

Ahli sains politik Oh Ei Sun pula berkata apabila tuntutan Umno dipenuhi, PH sebenarnya sudah kena main semasa undian belanjawan. 

Sekiranya mereka bangun untuk mendesak undi belah bahagi, ia hanya akan menyerlahkan strategi yang lemah, katanya.

“Dua syarat yang dikenakan (oleh Umno) dipenuhi iaitu moratorium dan pengeluaran KWSP. 

“Wakil rakyat penyokong kerajaan sokong belanjawan. Jadi tiada makna untuk PH cuba mengundi menolaknya. Ia tidak akan berjaya malah akan nampak buruk pada mereka. 

“Ia hanya akan tunjukkan mereka tiada majoriti,” kata felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Menurut Oh, strategi Anwar ialah untuk menentang belanjawan pada hari lain dan cuba membuktikan sokongan yang ada padanya di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Beliau tidak tunjukkan dengan jelas yang beliau tidak ada majoriti. Beliau cuba kekalkan keadaan politik yang samar-samar ini. Umno menggunakan Anwar, sama macam Anwar menggunakan mereka.

“Dalam keadaan sekarang, mereka saling menggunakan antara satu sama lain. Muslihat politik Umno tercapai dan mereka tinggalkan Anwar sekarang,” katanya.

Beliau bagaimanapun menambah keadaan mungkin berubah pada masa akan datang.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata PH huru-hara terutamanya Anwar apabila tidak bersedia untuk pengundian belanjawan.

Mereka begitu bersungguh mahu menolak belanjawan sehingga tidak menyediakan belanjawan alternatif seperti yang pernah dibuat sebelum ini, katanya.

“PH tidak cukup bersedia untuk menghadapi belanjawan. Mereka mengecewakan banyak orang apabila tidak ada pun belanjawan alternatif.

“Mereka ada pengalaman. Mereka sepatutnya kemukakan belanjawan alternatif kerana mereka sudah jadi kerajaan 22 bulan sebelum ini. 

“Sekiranya belanjawan alternatif dikemukakan, mereka boleh tolak belanjawan PN,” katanya.

Selepas pengundian belanjawan, Lim Kit Siang berkata pembangkang tidak mengundi menolaknya kerana patuh pada nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya ia diluluskan demi rakyat yang menghadapi kesan penularan wabak  dan krisis ekonomi akibat Covid-19.

Bagaimanapun Hisomuddin mengingatkan bahawa Agong hanya menitahkan nasihat dan bukan menitahkan perintah. Pembangkang masih boleh menolak belanjawan minggu lalu, kalau mereka mahu, katanya.

“Sama ada ikut nasihat Agong atau tidak, ia tidak ada apa-apa kesan. Sebagai pembangkang, mereka membangkang dan itu amalan yang biasa dalam sistem politik Malaysia,” tambahnya.

Anwar sebelum ini berkata PH akan menentang belanjawan pada peringkat jawatankuasa apabila perincian cadangan kerajaan diteliti bagi setiap kementerian, dan seterusnya semasa bacaan ketiga nanti. – 30 November, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen